Kerajaan Melaka mengarahkan syarikat KAJ Development Sdn Bhd yang membangunkan projek Melaka Gateway di Pulau Melaka, di Ayer Keroh mengadakan pertemuan segera dengan masyarakat Perkampungan Portugis bagi membincangkan masalah berkaitan penduduk.
Ketua Menteri Adly Zahari berkata, perbincangan berkenaan penting bagi merungkai semua permasalahan yang dihadapi penduduk, terutama nelayan yang dikatakan hilang mata pencarian akibat projek tambakan laut yang menjadi asas kepada pembangunan projek terbabit.
Beliau berkata, kerajaan negeri sedia menjadi orang tengah untuk menyelesaikan kemelut berkenaan yang berlarutan sejak beberapa tahun lalu.
“Saya minta Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Negeri Muhammad Jailani Khamis bagi mengambil tanggungjawab untuk mewakili kerajaan negeri bagi menyelesaikan isu berkenaan.
“Kami juga menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi memantau dan menyelesaikan isu berkaitan projek Melaka Gateway yang dianggotai Exco Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan negeri Mohd Rafiq Naizamohideen, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri Mohd Sofi Abd Wahab, Penasihat Undang-Undang negeri, Mohamad Abazafree Mohd Abbas serta Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Salha Salleh,” katanya.
Beliau mengulas tindakan sekumpulan 200 penduduk Perkampungan Portugis mengadakan demontrasi aman di hadapan pejabat KAJ Development, di Pulau Melaka, 17 Julai lalu bagi membantah projek penambakan laut di kawasan perkampungan itu.
Perhimpunan yang diketuai Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Perkampungan Portugis, Jacinta Lazaroo menyaksikan tiga keranda diletak di hadapan pejabat itu sebagai simbolik penduduk kampung akan mati kerana hilang mata pencarian sebagai nelayan.
Helaian kertas yang dikatakan wang palsu turut dibuang bagi menandakan golongan miskin seperti mereka ditindas golongan kaya yang berkuasa.
Terdahulu, Adly menghadiri majlis menandatangani perjanjian projek tambakan laut Jeti Anjung Batu, Umbai, di sini antara Syarikat Rohasset Sdn Bhd dan kerajaan negeri, di Seri Negeri.
Melaka diwakili Adly dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Roslan Ibrahim manakala syarikat itu diwakili Pengerusinya, Tan Sri Wan Azmi Wan Hamzah dan Pengarah, Wan Afzal Aris Wan Azmi.
Untuk rekod, KAJD sebagai pemaju utama dan Powerchina International Group Ltd. (Powerchina) membangunkan Melaka Gateway termasuk membabitkan pembinaan tiga pulau buatan dengan pelaburan RM30 bilion di Melaka.
Tiga pulau itu akan dibangunkan dan dijadikan sebagai pusat tumpuan pelancongan, komersial, hartanah serta pembangunan maritim.
Projek pembangunan komersial bercampur di kawasan seluas 246.4 hektar itu dijangka siap sepenuhnya pada 2025.
