Melaka intai jurulatih tempatan bimbing atlet e-sport

Melaka intai jurulatih tempatan bimbing atlet e-sport

Melaka sedang mencari calon sesuai bagi membimbing pasukan sukan elektronik (e-sport) negeri ini bagi persiapan menghadapi Temasya Sukan Malaysia (SUKMA ) Johor 2020.

Exco Komunikasi Multimedia, Pembangunan Belia dan Sukan, Kerk Chee Yee berkata Malaysia mempunyai ramai atlet e-sport yang berpengalaman namum mereka ini kurang mendapat perhatian sebelum ini.

“Saya sedang melakukan perbincangan dengan beberapa pihak yang berpengalaman dalam bidang e-sport bagi mengenal pasti jurulatih yang sesuai untuk melatih skuad e-sport Melaka nanti,” katanya kepada pemberita di luar Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka di sini hari ini.

Beliau berkata pencarian bakat baharu bukan hanya akan dilakukan di  institusi pengajian tinggi (IPT) tetapi turut melibatkan pelajar sekolah di seluruh negeri ini.

Tujuan e-sport bukan untuk mengajak pelajar asyik dengan permainan komputer tetapi ianya menjadi aktiviti sukan yang mendatangkan manfaat kepada golongan remaja tanpa mengenepikan soal pendidikan.

Kerk berkata pihaknya sedang berusaha untuk menubuhkan persatuan sukan e-sport yang pertama di negeri ini dan ia masih dalam proses pendaftaran dengan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS).

“Kita akan tubuhkan persatuan e-sport sebaik sahaja pendaftaran diluluskan oleh PPS kerana hanya mempunyai kurang daripada dua tahun bagi membuat persiapan ke SUKMA Johor 2020,” katanya.

Mengenai persiapan kontinjen Melaka bagi menghadapi SUKMA 2020, Kerk berkata tumpuan persiapan Melaka bukan untuk mendapat pingat tetapi memberi tumpuan kepada aspek pembangunan sukan.

“Pihak persatuan di negeri ini perlu memberi tumpuan kepada aspek pembangunan sukan selain mengambil kira kepada aspek kejurulatihan, pengurusan, pencarian bakat dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata perkara itu akan dijadikan sebagai Prestasi Petunjuk Utama (KPI) dalam menilai prestasi persatuan sukan di negeri ini.

— BERNAMA