Malaysia Dateline

Melaka lancar bas percuma 20 Ogos depan

Perkhidmatan bas percuma yang dijanjikan Pakatan Harapan (PH) Melaka dalam manifestonya pada Pilihan Raya Umum ke -14 (PRU14) lepas dijangka dilaksanakan selewat-lewatnya akhir Ogos ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam Melaka Mohd Sofi Abd Wahab berkata perkhidmatan bas percuma berkenaan meliputi dua laluan iaitu dari Melaka Sentral ke Hospital Melaka dan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) serta dari Melaka Sentral ke Pasar Transit Melaka.

Beliau berkata perkhidmatan bagi laluan dua hala yang dijadualkan bermula 7 pagi hingga 9 malam setiap hari itu akan dikendalikan oleh anak syarikat kerajaan negeri iaitu Panorama Melaka Sdn Bhd.

“Perkhidmatan berkenaan akan disediakan setiap 30 minit bagi kedua-dua laluan itu menggunakan tiga Bas Panorama dan kos yang perlu ditanggung adalah kira-kira RM1.5 juta setahun.

“Ini adalah janji PH kepada rakyat negeri Melaka sekiranya mereka memberi kepercayaan atau mandat kepada kita untuk meneraju pentadbiran kerajaaan negeri pada PRU14 lepas,” katanya pada sidang akhbar di Seri Negeri, Ayer Keroh di Melaka, hari ini lapor Bernama.

Ditanya tentang kaedah bagi memastikan perkhidmatan bas percuma itu dinikmati sepenuhnya rakyat tempatan negeri itu, beliau berkata perkara berkenaan masih dalam perbincangan dengan pihak Panorama Sdn Bhd termasuk menunjukkan kad pengenalan sebagai akses untuk menaiki bas berkenaan.

Dalam pada itu, Mohd Sofi berkata isu kesesakan trafik di negeri berkenaan khususnya di kawasan bandar pada musim cuti dijangka dapat dikurangkan dengan pengoperasian dua persimpangan bertingkat yang dijangka siap sepenuhnya pada Februari 2019.

Beliau berkata dua persimpangan bertingkat yang menelan kos kira-kira RM286 juta itu ialah di persimpangan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka dan Peringgit.

Katanya setakat ini pembinaan kedua-dua persimpangan bertingkat berkenaan yang mula dibina pada 2014 telah 75 peratus siap walaupun sebelum ini mengalami kelewatan dan tiga kali penjadualan semula dilakukan.

“Dua persimpangan bertingkat itu merupakan alternatif jangka panjang kerajaan negeri untuk menyediakan satu sistem penyuraian trafik yang dapat mengurangkan kesesakan di negeri ini terutama pada musim cuti sekolah atau cuti panjang yang mana kenderaan luar yang masuk ke negeri ini adalah berganda daripada hari biasa.

“Menerusi pengoperasian dua persimpangan bertingkat ini kelak, kita jangkakankelewatan akibat kesesakan trafik dan masa menunggu lampu isyarat dapat dikurangkan kira-kira 10 minit,” katanya.