Malaysia Dateline

Melaka lancar perkhidmatan bas pelancongan MTSS

Kerajaan negeri Melaka hari ini melancarkan perkhidmatan bas pelancongan ‘Melaka Tourism Shuttle Service’ (MTSS) bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan tumpuan pelancong di tiga stesen iaitu di River Cruise Taman Rempah, Menara Taming Sari dan Perkampungan Hang Tuah.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata buat permulaan tiga bas disediakan untuk membawa kira-kira 1,152 penumpang dengan 24 perjalanan sehari bermula di mana-mana tiga stesen berkenaan bermula jam 8 pagi hingga 10 malam.

Beliau berkata tiket bagi perkhidmatan MTSS, yang kini dalam fasa 1 pelaksanaannya, boleh dibeli pada harga RM5 seorang bagi pakej perjalanan tiga hari serta RM10 bagi pakej tujuh hari dan ia boleh dibeli tiga stesen tersebut.

Menurutnya, pihaknya menyasarkan jumlah bas ditambah kepada 50 buah dan jumlah stesen ditambah dari semasa ke semasa menyelang Tahun Melawat Melaka 2019.

“Secara keseluruhan Melaka mempunyai 796 destinasi dan produk pelancongan yang boleh dilawati namun penambahan bas berkenaan bergantung pada permintaan, keperluan pelancong atau lokasi yang menjadi tumpuan pelancong,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran MTSS, di sini, hari ini.

Pelancaran perkhidmatan berkenaan dirasmikan Yang Dipertua Negeri, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob dan turut dihadiri Exco Komunikasi, Multimedia, Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Kerk Chee Yee.

Mengulas lanjut, Muhammad Jailani berkata bagi perancangan masa panjang, sistem pembelian tiket secara bersepadu akan dilaksanakan bagi memudahkan pelancong membeli dalam talian atau menerusi mesin layan diri yang diletakkan di stesen terpilih.

Beliau berkata pihaknya juga akan bekerjasama dengan Persatuan Hotel Bajet Malaysia, yang mempunyai 122 hotel bajet berdaftar, untuk mempromosikan perkhidmatan MTSS.

— BERNAMA