Malaysia Dateline

Melaka perkenal pelbagai pakej penginapan tingkat kehadiran pelancong

Kerajaan negeri Melaka melalui industri perhotelan di negeri ini memperkenalkan pelbagai tawaran pakej penginapan menarik sempena Tahun Melawat Melaka (TMM) 2019 dalam usaha meningkatkan kehadiran pelancong dan memanjangkan tempoh penginapan.

Ketua Menteri Adly Zahari berkata menerusi kerjasama dengan Persatuan Bajet Hotel Negeri Melaka, sebanyak 14 buah hotel bajet menawarkan ‘Amazing Packages’ melibatkan penginapan tiga hari dua malam bermula pada harga RM159.

Beliau berkata menerusi kerjasama dengan Persatuan Hotel Malaysia Melaka pula, ‘Fascinating Melaka Packages’ ditawarkan dengan pelbagai pakej penginapan menarik di 10 buah hotel bertaraf tiga bintang ke atas pada harga RM300 hingga RM458 bagi pakej tiga hari dua malam.

“Sembilan rumah inap menawarkan penginapan dua hari satu malam bermula dari harga RM79 hingga RM99 bagi seorang pelancong di bawah pakej ‘Love My Kampung’ dengan kerjasama Persatuan Homestay Negeri Melaka.

“Selain itu, sebanyak 14 chalet dan resort di kawasan pantai di sekitar negeri ini turut menawarkan ‘Heritage and Nature Trail Packages’ dari harga RM79 hingga RM99 bagi seorang pelancong,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Tahun Melawat Melaka 2019 sempena Fiesta Melaka 2018 di sini, malam tadi.

Pada majlis itu, beliau turut melancarkan Kalendar Acara Pelancongan 2019 yang memaparkan pelbagai aktiviti atau program menarik sepajang TMM termasuk 11 acara pelancongan utama antaranya Raptor Watch, Sambutan Melaka Bandaraya Bersejarah dan Pesta San Pedro.

Turut hadir barisan exco kerajaan negeri termasuk Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis.

Adly berkata penganjuran TMM 2019 menjadi misi utama kerajaan negeri dalam menyokong pelaksanaan Tahun Melawat Malaysia 2020 yang merupakan platform utama Melaka mempromosikan negeri bersejarah itu di peringkat antarabangsa di samping merealisasi sasaran 20 juta pelancong pada tahun ini.

Sementara itu, beliau berkata Melaka menerima kehadiran 14.7 juta pelancong dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun lepas dengan 5.6 juta orang atau 38.59 peratus adalah pelancong asing.

“Kejayaan ini menjadi pemangkin kepada usaha berterusan dalam menjadikan Melaka destinasi pelancongan terunggul bertepatan dengan tema Melawat Melaka Bersejarah Bererti Melawat Malaysia dan Melaka Bandaraya Warisan Dunia UNESCO,” katanya.

Beliau berkata secara relatifnya sasaran tersebut agak tinggi dan mustahil dicapai namun yakin dapat mengangkat industri pelancongan negeri ke tahap yang lebih tinggi menerusi segala perancangan yang telah dilaksanakan termasuk kempen mempromosi Melaka menerusi slogan ‘Melaka The Gateway To Historic Malaysia’ dan beberapa pendekatan baharu lain.

Katanya semua lapisan masyarakat dimohon memberi kerjasama dan sokongan berterusan kepada kerajaan negeri menjayakan TMM 2019 dengan menerapkan nilai ‘Think Tourism And Act Tourism’ ke arah menggiatkan usaha mempromosi Melaka sebagai destinasi pelancongan utama negara.

— BERNAMA