Melaka rancang bina, naik taraf 100 menara telekomunikasi

Melaka rancang bina, naik taraf 100 menara telekomunikasi

Kerajaan Melaka merancang untuk membina dan menaik taraf 100 menara telekomunikasi pada tahun ini bagi menampung keperluan selular yang semakin meningkat.

Exco Komunikasi, Multimedia, Pembangunan Belia dan Sukan Melaka Kerk Chee Yee berkata setakat ini kerajaan negeri berjaya meningkatkan liputan selular di lebih 55 lokasi.

Bagi tempoh 2015 dan 2017 hanya 30 menara telekomunikasi dibina manakala dalam tempoh Januari hingga April tahun lepas hanya enam menara dibina, katanya kepada pemberita selepas menghadiri kempen gotong-royong bersama masyarakat di Bukit Beruang, di sini hari ini.

Menurutnya proses pembinaan menara telekomunikasi di Melaka kini dapat dipercepat susulan penubuhan Jawatankuasa Bertindak Infrastruktur Telekomunikasi yang bertujuan mengenal pasti kelemahan atau gangguan Internet.

“Oleh itu, dengan penubuhan jawatankuasa tersebut, kita dapat mempercepat proses pembinaan dan pemasangan menara telekomunikasi dalam tempoh empat bulan berbanding sembilan bulan hanya untuk mendapatkan kelulusan daripada agensi berkaitan,” katanya.

Beliau juga berkata pakej yang ditawarkan oleh syarikat telekomunikasi sekarang lebih rendah berbanding lima tahun lepas.

Ini katanya mendorong kepada peningkatan permintaan jaringan liputan selain keperluan menyediakan data lebih besar.

“Selain itu, orang ramai boleh menyalurkan maklumat dan membuat aduan sekiranya kawasan mereka mengalami gangguan liputan jalur lebar dengan mengisi borang yang telah diedarkan di 28 Jawatankuasa Penyelaras Dewan Undangan Negeri masing-masing,” katanya.

– BERNAMA