Malaysia Dateline

Melaka sasar RM120 juta kutipan zakat tahun ini

Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) melalui Zakat Melaka menyasarkan kutipan zakat RM120 juta tahun ini, kata Ketua Menteri Adly Zahari.

Beliau yang juga Pengerusi MAIM berkata sasaran itu dilihat realistik dengan kutipan memberangsangkan lebih RM98.85 juta melebihi sasaran RM95 juta yang dikutip tahun lepas.

Katanya kutipan tahun lepas itu juga meningkat lebih 12 peratus berbanding kutipan lebih RM87.81 juta pada tahun 2018.

“Diharap hasil kutipan zakat berkenaan akan dapat memacu kebajikan, pendidikan dan bantuan kepada masyarakat Islam di Melaka,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Perdana Kerajaan Negeri Melaka dan Amanat Tahun Baharu 2020 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Adly berkata kerajaan negeri menyasarkan pertambahan satu juta pelancong tahun ini berbanding jumlah kedatangan pelancong tahun lepas.

Beliau berkata Melaka menerima kedatangan lebih 13.67 juta pelancong dalam tempoh sembilan  bulan pertama tahun lepas, dan jumlah keseluruhan kedatangan pelancong ke negeri ini akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

“Kedatangan pelancong sehingga September itu mencatat peningkatan berbanding lebih 13.02 juta pada tempoh sama 2018. Dengan Tahun Melawat Malaysia 2020 saya percaya sasaran ini dapat dicapai,” katanya.

Beliau berkata dalam usaha memperkukuhkan sektor pelancongan Melaka pada masa hadapan, kerajaan negeri turut bercadang mengenal pasti warisan negeri ini khususnya yang melambangkan atau melibatkan identiti kaum yang pelbagai dan berpotensi diketengahkan agar ia tidak luput ditelan zaman.

Sementara itu, bagi membantu rakyat di negeri ini kerajaan negeri melalui Amanah Finance House memperuntukkan RM10 juta iaitu masing-masing RM5 juta bagi pinjaman perumahan dan mikro kredit untuk rakyat negeri itu menerusi Dana Harta Bumiputera.

— BERNAMA