Malaysia Dateline

Melaka sedia tanam modal di Perak, kata Ketua Menteri

Melaka sedia melabur di Perak sebagai usaha untuk meningkatkan sumber ekonomi kedua-dua negeri, kata Ketua Menterinya Adly Zahari.

Beliau berkata pihaknya berhasrat untuk mengadakan pelaburan di Perak setelah mempunyai pelaburan dalam industri sawit di Sabah dan pembalakan di Kedah.

“Setakat ini, Melaka belum mempunyai kerjasama dengan Perak jadi Melaka bercadang untuk mengadakan kerjasama antaranya memanfaatkan khidmat nasihat kepakaran (pembangunan) sungai khususnya tasik-tasik di negeri ini.

“Melaka mempunyai kepakaran pembangunan sungai, jadi ia sedia bantu sama ada individu, swasta atau Kerajaan Negeri untuk tujuan itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan Amanah Kawasan Gopeng Kali ke-4 di sini, hari ini.

Adly, yang juga Ahli Jawatankuasa Nasional Amanah, berkata Melaka telah memberi khidmat nasihat mengenai kepakaran pengurusan sungai dan ‘Cruise’ dalam sektor pelancongan di Riau, Indonesia serta berhasrat untuk memanfaatkannya bersama Kerajaan Negeri yang lain.

“Kalau kita lihat, sebenarnya Melaka mempunyai beberapa kepakaran termasuk pembangunan sungai, pelancongan dan sektor pertanian malah adalah negeri kedua terbesar dalam penternakan ikan keli di negara ini,” katanya.

— BERNAMA