Malaysia Dateline

Melaka sediakan lima loji rawatan air mudah alih bernilai RM2.2 juta

Kerajaan Negeri Melaka akan menyediakan loji rawatan air mudah alih (PWTP) dengan kos keseluruhan RM2.2 juta yang bakal ditempatkan di lima lokasi di Zon 1 di sini, yang kini berdepan catuan bekalan air.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam Melaka Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab berkata kos menyediakan PWTP itu adalah peruntukan daripada dana Tabung Bantuan Bencana Negara yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“PWTP ini mempunyai kemampuan menghasilkan air bersih sebanyak 120,000 liter sehari bagi setiap PWTP. Pemasangan ini dijangka selesai sebelum akhir bulan ini untuk memberi manfaat kepada penduduk setempat.

“Penduduk setempat boleh mengambil air di PWTP ini pada bila-bila masa kerana air bersih boleh dihasilkan di loji itu. Ini usaha kerajaan negeri bagi meringankan beban rakyat sepanjang tempoh kita menghadapi masalah bekalan air ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Melaka, pada 29 Jan lepas, mula melaksanakan catuan bekalan air harian membabitkan 550,673 pengguna iaitu 62.8 peratus penduduk bagi memastikan bekalan air mencukupi untuk menghadapi cuaca panas dan kering yang dijangka berakhir bulan hadapan.

Catuan itu kemudian diperluas ke Fasa Dua pada Isnin lepas yang melibatkan sektor perhotelan dan perkilangan.