Melaka tamat badi dengan menewaskan Kedah

Melaka tamat badi dengan menewaskan Kedah

Melaka akhirnya menamatkan badi kekalahan pada aksi Liga Super selepas mengejutkan Kedah dengan kemenangan tipis 1-0 di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Pemain import dari Brazil, Anselmo Cassagrande muncul wira skuad Zainal Abidin Hassan itu, apabila menanduk masuk sepakan penjuru Safiq Rahim pada minit ke-49.

Skuad Sang Kancil sebelum ini tewas empat perlawanan dan seri satu perlawanan selepas kali terakhir mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas pasukan tercorot liga, Kuala Lumpur pada 3 Mac lalu.

Keputusan itu menyaksikan Melaka melonjak ke tempat kelima daripada tempat ketujuh selepas meraih 14 mata daripada 10 perlawanan liga setakat ini, manakala Kedah kekal di tempat keempat liga yang disertai oleh 12 pasukan dengan 15 mata.

Sementara itu, pada aksi Liga Premier, Sarawak gagal menggunakan peluang beraksi di laman sendiri apabila tewas 0-2 kepada UiTM FC di Stadium Negeri, Kuching.

Pasukan UiTM membuka jaringan menerusi penyerang import dari Montenegro, Zarco Korac pada minit ke-29, sebelum penyerang import dari Senegal, Robert Mendy menggandakan jaringan pada minit ke-85.

Menerusi kemenangan itu, UiTM kini berada di tempat ketiga dengan 17 mata daripada sembilan perlawanan setakat ini, manakala Sarawak berada di tempat kelapan dengan lapan mata.- BERNAMA