Malaysia Dateline

Melaka tarik pelabur dalam industri teknologi tinggi dan inovasi

Kerajaan negeri Melaka sedang berusaha menarik lebih banyak pelaburan melibatkan industri berteknologi tinggi dan inovasi khususnya dari negara maju seperti Eropah dan Jepun.

Exco Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata ia bertujuan bagi membolehkan perpindahan teknologi untuk memacu industri pelaburan dan perindustrian di negeri ini pada masa hadapan yang sekali gus dapat melahirkan lebih ramai pekerja tempatan yang mahir mengendalikan mesin berteknologi tinggi dan terkini.

“Pelaburan melibatkan teknologi dan inovasi tinggi ini kebiasaannya akan melibatkan pembinaan kilang di negeri ini dan ia membuka peluang pekerjaan yang tinggi untuk rakyat tempatan.

“Usaha ini mampu meletakkan Melaka sebagai sebuah negeri yang maju dalam bidang pelaburan dan perindustrian selain meningkat ekonomi negeri dan juga rakyat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bizgrant Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) 2018, di sini, hari ini.

Mohd Rafiq berkata bagi merealisasikan usaha berkenaan kerajaan negeri sedang merangka pelbagai insentif tambahan untuk menarik minat pelabur asing dan tempatan untuk melabur dalam industri berteknologi tinggi dan inovasi.

“Kita sedang bekerjasama dengan beberapa negeri yang cemerlang dalam industri pelaburan dan perindustrian seperti Johor, Pulau Pinang dan Selangor untuk mengetahui insentif yang mereka berikan kepada pelabur dan kita akan mempertimbang untuk memberi insentif yang sama agar dapat bersaing,” katanya.

Sementara itu pada majlis berkenaan, seramai 106 usahawan kecil dan sederhana di Melaka menerima bantuan geran berjumlah RM3,000 setiap seorang menerusi peruntukan sebanyak RM318,000.

Mohd Rafiq berkata Bizgrant yang pertama kali diberikan kepada usahawan kecil dan sederhana menerusi SMM pada tahun ini memberi manfaat kepada 200 penerima melibatkan peruntukan berjumlah RM600,000.

Katanya geran berkenaan bertujuan membantu usahawan membeli peralatan perniagaan khususnya mesin melalui pembekal yang dilantik SSM.

— BERNAMA