Malaysia Dateline

Melaka tetap akan maju walaupun Ketua Menteri dari PH, kata Idris Haron

ADUN Sungai Undang Idris Haron yakin negeri Melaka tetap akan maju walaupun pemimpin Pakatan Harapan dipilih sebagai Ketua Menteri.

“Kalau PH bentuk kerajaan, takkanlah kita hendak jadikan Melaka mundur, sudah tentulah kita majukan negeri kita ini,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Idris juga menolak desakan agar Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan memandangkan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan diadakan dalam tempoh setahun setengah sahaja lagi.

Beliau secara peribadi menolak cadangan Umno yang mahu PRN diadakan bagi menyelesaikan kemelut politik negeri yang berlaku.

“Jika PRN ingin diadakan, ia membabitkan banyak perkara yang harus kita pertimbangkan kerana kita masih dalam pandemik Covid-19 dan ia menyebabkan risiko lebih tinggi. Ia juga membabitkan kos perbelanjaan yang tinggi.

“Selain itu, PRU15 sudah dekat, lebih kurang setahun setengah sahaja lagi dan kita tidak mahu apa yang berlaku pada PRN Sabah sebelum ini berulang di tempat kita yang menyaksikan jumlah pesakit Covid-19 naik mendadak,” katanya.

Beliau bagaimanapun menyerahkan isu itu kepada kebijaksanaan Yang Dipertua Negeri Melaka, Mohd Ali Rustam untuk menentukan sama ada Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu dibubarkan atau memilih Ketua Menteri yang baharu dalam kalangan pemimpin PH.

Idris juga enggan mengulas mengenai parti mana yang akan disertainya bersama tiga lagi ADUN yang terbabit dalam langkah menarik sokongan semalam.

Terdahulu Idris, turut mengumumkan menarik sokongan terhadap Sulaiman ialah ADUN Pantai Kundor daripada BN Nor Azman Hassan; Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

Berikutan itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Ab Rauf Yusoh dilaporkan akan mencadangkan kepada Mohd Ali supaya membubarkan DUN bagi membolehkan PRN diadakan.

Sebelum penarikan sokongan itu, Umno memiliki 14 kerusi manakala Bersatu (2) dan Bebas (1), manakala PH mempunyai 11 kerusi namun parti itu kini mempunyai 12 kerusi dan Bersatu pula (1).

Jika empat ADUN terbabit sah menyertai PH, maka PH mempunyai 15 kerusi, iaitu empat melebihi Umno dan Bersatu.