Malaysia Dateline

Melaka tidak halang penceramah yang berpihak kepada pembangkang

Kerajaan negeri Melaka tidak menghalang mana-mana majlis ilmu termasuk daripada penceramah yang berpihak kepada pembangkang.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, pihaknya bersikap terbuka kepada mana-mana penceramah yang memenuhi syarat-syarat ditetapkan Jabatan Mufti Negeri walaupun individu itu tidak berpihak kepada kerajaan.

Jelas Pengerusi AMANAH Melaka tersebut, langkah diambil kerajaan negeri itu bagi menjadikan Melaka sebuah negeri yang subur dalam pelbagai bidang termasuk ilmu dan pengetahuan.

“Kita tidak sekat majlis-majlis ilmu, kita mahu rakyat negeri ini mendapat ilmu pengetahuan tetapi apa yang berlaku adalah majlis itu dicemar dengan tindakan pihak yang cuba mengaitkannya dengan politik.

“Sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negeri, ramai penceramah dan ilmuan dari pelbagai ideologi menganjurkan majlis agama di Melaka,” ujarnya.

Dalam pada itu, Adly berkata, Melaka juga tidak pernah menyenaraihitam mana-mana penceramah dan ilmuan untuk masuk ke negeri tersebut bagi menganjurkan majlis ilmu dengan syarat mereka mematuhi peraturan ditetapkan.

“Bagaimanapun, setiap penceramah yang masuk ke negeri itu mesti mendapat kebenaran dan sentiasa dipantau Jabatan Mufti Negeri dan jika kita dapati ada penyalahgunaan yang diberikan, kita berhak menghalang penceramah itu daripada mengadakan aktiviti,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mesyuarat Exco kerajaan negeri di pejabatnya di Seri Negeri, Melaka hari ini.

Mengulas kedudukan pendakwah bebas, Wan Ji Wan Hussin, Adly berkata, tidak akan menghalang aktiviti penceramah tersebut walaupun kemunculannya di Masjid Ar Rahman Kampung Parit Melana di Durian Tunggal, 22 Julai lalu mencetuskan kekecohan apabila dibantah sekumpulan individu.

Menurutnya, kekecohan yang berlaku ketika program membabitkan penceramah berkenaan didakwa berpunca daripada campur tangan politik sehingga menjejaskan imej institusi masjid.

“Wan Ji masih melalui proses mahkamah dan kerajaan negeri tidak akan menghalang kemasukan beliau atau mana-mana penceramah lain walaupun mereka tidak memihak kepada kerajaan.