Melaka tingkat rondaan perkasa keselamatan perairan

Melaka tingkat rondaan perkasa keselamatan perairan

Kerajaan negeri melalui agensi penguatkuasaan terlibat akan meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan dalam usaha memastikan aspek keselamatan perairan Melaka terjamin daripada sebarang ancaman, kata Ketua Menteri Adly Zahari.

Beliau berkata aspek keselamatan yang perlu diberi perhatian termasuk keselamatan bot dan kapal, risiko pencerobohan kedaulatan negara daripada pendatang asing tanpa izin, bebas daripada ancaman jenayah rentas sempadan dan ancaman kawasan strategik negara seperti pelabuhan.

Katanya Melaka mempunyai persisiran pantai sepanjang kira-kira 78 kilometer bermula dari muara Sungai Kuala Linggi hingga ke Sungai Kesang dan merupakan laluan tumpuan kapal selain menjadi sumber perikanan nelayan dan aktiviti pembangunan persisiran pantai di Selat Melaka.

“Sebanyak 28 tangkapan dilakukan di sepanjang perairan negeri Melaka dan Negeri Sembilan pada 2018 dengan 15 tangkapan melibatkan perairan negeri Melaka berbanding enam kes pada 2017; manakala lapan tangkapan dilakukan pada tahun ini sehingga hari ini.

“Tangkapan dilakukan melibatkan pelbagai kesalahan termasuk memasuki negara ini menerusi perairan negeri secara tidak sah, aktiviti korek pasir tanpa lesen dan penyeludupan,” katanya kepada pemberita selepas Lawatan Kerja ke kawasan Maritim Negeri Melaka hari ini.

Pada lawatan itu, beliau meluangkan masa lebih tiga jam meninjau situasi semasa sepanjang perairan negeri bermula dari Jeti Nelayan Kuala Linggi di daerah Alor Gajah sehingga ke Pulau Besar di sini.

Mengulas lanjut, Adly berkata peningkatan tangkapan berkenaan menunjukkan komitmen dan inisiatif berterusan yang dilakukan agensi penguat kuasa seperti APMM, Polis Marin, dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Beliau berkata rondaan dilakukan secara berkala melalui pendekatan ‘show of presence’ dan penguatkuasaan undang-undang serta koordinasi yang baik antara agensi keselamatan terlibat.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri akan melaksanakan projek perintis penternakan ikan dalam sangkar di Pantai Siring di sini dalam masa terdekat bagi meningkat pendapatan nelayan terlibat.

“Model penternakan ikan dalam sangkar ini akan dibangunkan kerana ia dijangka memberi manfaat kepada lebih 1,000 nelayan di samping membantu meningkatkan hasil tangkapan ikan dalam masa pendek dan hasilnya dapat dinikmati untuk jangka panjang,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri juga memberi tumpuan terhadap kemasukan pelancongan ke negeri itu melalui kapal persiaran yang kini semakin meningkat dari semasa ke semasa, selaras dengan sasaran kedatangan 20 juta pelancong sempena Tahun Melawat Melaka tahun ini.

— BERNAMA