Malaysia Dateline

Melalui helah politik, Umno kembali terajui Perak

Sama ada memulakan usul undi percaya kepada Dato’ Seri Ahmad Faizal Dato’ Azumu; kemungkinan bekerjasama dengan parti lain, termasuk dari Pakatan Harapan (PH); mengekalkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Perak menerusi gabungannya dengan Bersatu, PAS, dan seorang Bebas, ataupun telah sepakat menamakan seorang ADUN sebagai calon Menteri Besar (MB) Perak yang baharu, hakikatnya Umno mahu berkuasa penuh semula di negara ini.

Sebelum di Pusat, Umno memulakannya di Perak. Dengan gelagatnya sejak kebelakangan ini, ternyata pemimpin Umno cuma bercakap menjunjung titah nasihat Yang di-Pertuan Agong (YdPA), As-Sultan Abdullah Ri’yatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Walaupun mengambil keputusan mahu mengekalkan Kerajaan PN di Perak, tetapi Umno memang gila kuasa, dan tidak menghiraukan nasihat YdPA agar ahli politik menghentikan permainan politik, apatah lagi ketika krisis Covid-19 sekarang.

Jelas sekali kalau untuk kepentingannya, tidak salah bermain politik tanpa henti dan mengheret pihak istana. Jika pihak pembangkang yang melakukan perkara serupa, pastilah Umno mengecamnya sebagai asyik berpolitik, dan derhaka pada raja-raja. Demikianlah Umno!

Politik di Perak kembali tegang selepas Faizal, 50, yang juga ADUN Chenderiang dijatuhkan dari jawatan MB. Ahli Parlimen Tambun itu langsung tidak menyangka beliau akan digulingkan.

Pada 5 Disember lalu, Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menerima peletakan jawatan Faizal, dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri susulan kehilangan sokongan majoriti dalam usul undi percaya MB yang dimulakan oleh Umno menerusi ADUN Pengkalan Baru, Datuk Abd Manaf Hashim pada sidang DUN Perak, sehari sebelum itu.

Daripada 59 ADUN, hanya 10 menyokong Faizal, sedangkan 48 menolak. Seorang lagi berkecuali (undi rosak).
Selepas ‘pengkhianatan’ dan ‘kerajaan tebuk atap’/’pintu belakang’ ditubuhkan, Faizal menerajui Kerajaan PN di Perak.

Umno dalam mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) di PWTC, 7 Disember lalu membuat keputusan mahu mengekalkan Kerajaan PN di Perak.

Mengenai spekulasi yang bertiup kencang ia akan bekerjasama dengan DAP Perak menubuhkan kerajaan baharu, Umno meminta parti itu mengikut sahaja.

Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika bercakap kepada media di luar Istana Kinta selepas pertemuan dengan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, 6 Disember lalu, mengatakan Umno tidak menolak kemungkinan akan bergabung dengan beberapa parti lain, termasuk dari PH untuk membentuk kerajaan negeri baharu di Perak.

Oleh kerana mempunyai kerusi DUN terbanyak, iaitu 25, keghairahan Umno tidak dapat dibendung lagi apabila turut menamakan tiga ADUNnya sebagai calon MB baharu Perak, iaitu Datuk Shahrul Zaman Yahya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, dan Datuk Saarani Mohamad.

Shahrul yang juga ADUN Rungkup ialah Exco Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor, serta mantan Penolong Setiausaha Pergerakan Pemuda Umno Malaysia.

Selain dilihat ada hubungan baik dengan Zahid, Shahrul juga dikatakan pemimpin mesra rakyat, dan disenangi komuniti bukan Melayu.

Zambry, 58, pula pernah menjadi MB Perak, dan merupakan Pengerusi Malaysia Airports Holdings Bhd sejak 12 Ogos lalu.

Walau bagaimanapun, akhirnya, Sultan Nazrin telah memperkenan Saarani, 59, yang juga ADUN Kota Tampan dan Pengerusi Perhubungan Umno Perak sebagai MB Perak yang baharu.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengelola Bijaya Diraja, Kolonel (B) Dato’ Abd Rahim Mohamad Nor, pada pertimbangan Paduka Seri Sultan, Saarani boleh mendapat kepercayaan sebahagian besar ADUN untuk dilantik ke jawatan tersebut.

Kenyataan itu dibuat selepas pertemuan enam mata antara Zahid dengan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang di Kuala Lumpur pada 9 Disember. Zahid turut memohon maaf bagi pihak ADUN atas ‘kekhilafan’ yang berlaku.

Menurut Rahim, Sultan Nazrin membuat keputusan itu berpandukan Perkara XVI Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak. Majlis angkat sumpah jawatan MB itu diadakan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada 10 Disember.

Dengan pelantikan Saarani itu, Kerajaan PN kekal di Perak. Dengan Saarani sebagai MB, tercapailah juga cita-cita Umno berkuasa semula di negeri berkenaan.

Wakil rakyat empat penggal itu merupakan Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna semasa Faizal menjadi MB Perak.

Saarani pernah berada dalam pentadbiran kerajaan negeri Perak di bawah dua Menteri Besar, iaitu Tan Sri Tajul Rosli Ghazali, dan Zambry.

Kemelut politik di Perak kini dianggap telah selesai, dan sekali gus perancangan kerajaan gabungan PN-PH turut tidak menjadi kenyataan.

Namun demikian, menarik juga jika pelaksanaan usul undi percaya MB di DUN Perak dicontohi Dewan Rakyat untuk mencari keabsahan Ahli Parlimen Pagoh merangkap Perdana Menteri, Muhyiddin, dan Kerajaan PN. Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer mengesyorkannya pada 8 Disember lalu di Dewan Rakyat.

Walau bagaimanapun, syor atau usul itu disambut dingin oleh Yang Dipertua, Datuk Azhar Azizan Harun tanpa alasan kukuh.

Janganlah mengambil titah pesanan YDPA dan Covid-19 sebagai dalih menolak. Jika di Perak boleh, mengapa di Pusat tidak? Usahlah double standard!

 

RAYUSA seorang penulis bebas yang turut menulis isu sastera dan budaya tanah air.