Melambung jatuh atas kereta dari tingkat enam, kucing gemuk ini tidak cedera

Oleh KIM SYAZIE

Seorang pemilik kenderaan terkejut apabila menerima panggilan memaklumkan bahawa tingkap kereta miliknya pecah.

Pelakunya bukanlah penjenayah, tetapi hanya seekor kucing ‘gemuk’ yang mempunyai berat badan mencecah 8.5 kilogram.

Kucing yang bernama Shifu itu dipercayai terjatuh dari tingkat enam ke tingkat tiga, sebelum terhumban ke atas kereta.

Menyifatkan kejadian tersebut sebagai kemalangan, pemuda yang bernama Apiwat Toyothaka itu langsung tidak marah kepada pemilik Shifu.

Malah, Apiwat turut bersyukur apabila dimaklumkan bahawa kucing itu selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Memuat naik gambar imbasan X-ray yang membuktikan bahawa Shifu tidak tercedera, kucing itu bagaimanapun kehilangan dua kuku akibat insiden tersebut.

“Pengurus kondominium menghubungi saya pukul 7 pagi (waktu tempatan) untuk memaklumkan bahawa seekor kucing jatuh di atas kereta saya. 

“Saya berasa keliru mengenai kejadian itu kerana bagi saya, ia hanya seekor kucing yang jatuh di atas kereta. 

“Kemudian, saya diberitahu bahawa kucing itu seberat 8.5 kilogram dan memecahkan tingkap kereta. Barulah saya faham situasi itu,” katanya.

Makan, minum dan membuang air secara normal, Shifu dikatakan berada dalam keadaan baik serta langsung tidak mempunyai kesan lebam.

Baca juga: Beli borong baju tidur anak, wanita terkejut lihat corak tak senonoh