Malaysia Dateline

Melampau guna sistem kasta dalam urusan agama

Sikap bongkak pengurusan masjid dalam mengendali isu orang kenamaan atau VIP di masjid membuktikan betapa parahnya sikap layanan dua darjat yang berakar dalam pentadbiran kerajaan.

Ketua Pemuda AMANAH Wilayah Persekutuan, Asmaaliff Abdul Adam berkata, tindakan membeza-bezakan pangkat dan menggunakan sistem kasta dalam urusan agama adalah melampau kerana rakyat masih boleh terima sekiranya sistem kasta itu diamalkan dalam sektor lain.

Bahkan katanya, Islam dengan jelas telah meletakkan kelebihan berada di saf pertama tanpa melihat pangkat dan kedudukan.

“Dengan peningkatan kadar vaksinasi dan pembukaan sektor hiburan, kini sudah tiba masanya rumah ibadat dibuka seluasnya dan bukan hanya dikira dalam ruang solat semata-mata.

“Perlu diambil kira perkarangan masjid yang luas. Apatah lagi jika kita lihat, orang yang hadir beribadat bukanlah membabitkan aktiviti luar kawalan.

“Akhir zaman ini, manusia bukan sahaja tidak mampu mengendalikan isu dengan akhlak, bahkan untuk menyelesaikannya dengan akal pun masih lemah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Asmaaliff yang juga Ketua Pemuda PH Wilayah Persekutuan mengingatkan bahawa jemaah adalah komponen terpenting dalam sesebuah masjid dan tanpa jemaah, sesebuah masjid pastinya akan mati.

Justeru katanya, komponen terpenting ini sewajarnya dianggap sebagai tetamu, dan bukannya dilayan dengan penghinaan.