Malaysia Dateline

Melangkah 2021: Norma baharu juga perlu dalam politik

Norma baharu yang kerap dikaitkan dengan usaha membendung pandemik Covid-19 juga perlu dibudayakan dalam politik tanah air.

Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, norma baharu dalam siasah ini melibatkan peranan ahli politik dan rakyat.

“Norma baharu dalam politik pun perlu. Biar semua orang politik bertanggungjawab dengan apa yang mereka buat.

“Norma baharu politik juga menuntut rakyat menentukan kerajaan apa yang mereka mahukan tanpa apa-apa tekanan.

“Rakyat yang menentukan kerajaan mana yang memberi manfaat menerusi polisi-polisi yang progresif,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam bual bicara menerusi Facebook Dialektika TV yang dimoderatorkan Sayed Munawar sebentar tadi.

Sehubungan itu, Mujahid menegaskan pemikiran dan nilai norma baharu dalam politik yang perlu diberi keutamaan bagi tahun baharu 2021 hanya dapat dicapai dengan pemilihan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

“Siapa boleh bawa pemikiran dan idea-idea reformasi dalam PH (Pakatan Harapan) yang tertangguh di atas sebab rampasan kuasa?

“PN (Perikatan Nasional) tidak mampu laksanakan. PH dengan memilih Anwar sebagai PM bukan taksub,” katanya.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berpendapat Anwar terus berusaha untuk mendapatkan kembali mandat dari kalangan 220 Ahli Parlimen.

“Bukan nak ganggu. Kita mahu sembuhkan negara dalam keadaan sekarang. Siapa sahaja yang jadi kerajaan kena sembuhkan negara,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menekankan perlunya ‘gencatan senjata’ secara berstruktur dilaksanakan bukan sekadar kenyataan politik.