Melarang pelantikan orang politik menerajui GLC tiada dalam Manifesto PH

Melarang pelantikan orang politik menerajui GLC tiada dalam Manifesto PH

Pelbagai pihak khususnya daripada kalangan pembangkang – tentunya Pas dan Umno – akan memberikan komentar kritikal terhadap langkah kerajaan melantik Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Syarikat Milik Kerajaan (GLC) dalam kalangan orang politik, khususnya individu politik tersebut adalah daripada kumpulan parti pemerintah (PH).

Pihak-pihak ini akan membangkitkan soal janji manifesto Pakatan Harapan (PH) yang dikatakan tidak akan membuat pelantikan orang politik untuk mengetuai GLC.

Persoalannya, apakah sememangnya wujud janji sedemikian dalam manifesto PH? Merujuk kepada Janji 22 (ms. 54) bertajuk “Menjadikan pentadbiran semua syarikat milik kerajaan (GLC) setaraf dengan piawaian antarabangsa” dalam perenggan ke 5 dinyatakan, “Kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan pelantikan ahli lembaga pengarah ke dalam GLC nasional dan negeri adalah daripada kalangan golongan professional, dan bukan berdasarkan kaitan politik mereka.”

Ternyata dalam perenggan ke 5 ini tidak pun secara mutlak atau secara mandatori melarang, mahu pun menidakkan, bahkan menafikan hak untuk melantik ahli politik dalam menerajui GLC. Sangat jelas dalam perenggan ini, memperakui bahawa sesiapa sahaja yang mempunyai kredibiliti sebagai seorang “profesiomal” mempunyai kemungkinan peluang yang besar untuk dilantik sebagai peneraju GLC, meskipun individu tersebut mempunyai pembabitan sebagai ahli politik aktif, mahu pun ahli politik pasif.

Terasnya adalah profesional dan profesionalisme, sebagaimana yang ditegaskan dalam perenggan ke 8, antara lain menjelaskan, “Kerajaan Pakatan Harapan akan menerima pakai piawaian antarabangsa, seperti Garispanduan OECD Mengenai Tadbir Urus Syarikat Milik Kerajaan, dalam rangka memperbaiki keseluruhan tadbir urus GLC.”

Ini bermakna, orang politik yang dilantik menerajui GLC tentunya daripada kalangan mereka yang profesional, profesional dalam erti kata mempunyai kemahiran bidang seumpama perakaunan, kejuruteraan atau pun perbankan dan tentunya pula mempunyai pengalaman dalam sektor pengurusan korporat.

Selain itu mempunyai wibawa dalam aspek integriti dan akauntabiliti. Perkara ini adalah selaras dengan piawai yang dinyatakan dalam Garis panduan OECD yang menjadi asas kepada usaha untuk memantapkan urus tadbir GLC sebagaimana ditegaskan dalam manifesto PH itu sendiri.

Berdasarkan penegasan ini, makna frasa “….bukan berdasarkan kaitan politik mereka,” membawa maksud sesiapa sahaja dengan merentasi kumpulan politik, boleh dilantik sebagai peneraju atau CEO GLC.
Namun syaratnya individu yang dilantik mesti memenuhi piawai sebagaimana yang dirangka oleh OECD, hal ini dinyatakan dengan jelas dalam manifesto PH. Apa yang nyata, PH telah pun meletakkan piawai yang jelas berkaitan dengan perlantikan inividu-inividu untuk mengurus dan mengendali GLC.

Situasi agak berbeza dengan apa yang telah dilakukan oleh Barisan Nasional (BN) sebelum ini yang telah membuat pelantikan peneraju GLC tanpa asas piawai yang kuat dan kukuh, terdapat dalam kalangan peneraju GLC yang dilantik daripada kalangan individu yang bukan sahaja dipertikai akan wibawa pencapaian akademiknya, bahkan juga dalam aspek kredibiliti integriti dan akauntabiliti, sebaliknya memandangkan individu terbabit menjadi penyokong kuat Perdana Menteri ketika itu, maka individu terbabit sekonyong-konyong dilantik menerajui GLC yang kemudiannya terpalit dengan pebagai kontroversi.

Berdasarkan konteks profesional dan profesionalisme inilah, PH melalui Kementerian Pendidikan telah melantik seorang bekas Menteri sewaktu pemerintahan BN untuk mengetuai Lembaga Pengarah Universiti (LPU) di sebuat universiti yang bertaraf universiti penyelidikan. Ternyata pelantikan ini tidak pun mengambil kira akan realiti kaitan politiknya.

Jadinya manifesto PH bukan merupakan penghalang mutlak untuk membolehkan orang politik dilantik sebagai peneraju utama GLC, namun apa yang ditegaskan adalah aspek profesional dan profesionalisme, tanpa mengambil kira kedudukan kaitan politiknya, ini bermakna pelantikan itu bercorak merentasi kumpulan ideologi politik, asalkan sahaja mempunyai kecenderungan memenuhi serta mematuhi piawai standard yang digariskan di dalam kerangka OECD.

OECD (The Organization for Economic Co-operation and Develoment) telah membentuk satu pelan tindakan penting untuk program pematuhan anti rasuah, melalui Jawatan Kuasa Kerja Anti Rasuah. Pelan induk anti rasuah OECD ini telah diterbitkan pada Februai 2010 bertajuk Panduan Amalan Baik Mengenai Kawalan Dalaman (Good Practice Guidance an Internal Control, Ethics and Compliance). Pelan ini telah menetapkan secara terperinci berhubung dengan usaha serta tindakan bagi memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa korporat.

* Penulis ada Pensyarah di Fakulti Pengurusan dan Ekonomi Universiti Pendidikan Sultan Idris