Malaysia Dateline

Melawan biar kena cara, ini cara betul ‘ajar’ pasangan curang

Isu Dr. Najihah – Dr. Hanafi – Raihan. Ketiga-tiga mereka merupakan penjawat awam. Sebagai seorang pengamal undang-undang yang telah dan sedang mengendalikan kes-kes tatatertib terhadap penjawat awam, ini pendapat saya.

Semua penjawat awam adalah tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Di bawah Peraturan ini, perkara-perkara berikut merupakan suatu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan tatatertib:

(1) membelakangkan tugas awam demi kepentingan persendirian [Peraturan 4(2)(a)]

(2) menyebabkan kepentingan persendirian bercanggah dengan tugas awam
[Peraturan 4(2)(b) dan (c)]

(3) mencemarkan nama perkhidmatan awam [Peraturan 4(2)(d)]

(4) membuat pernyataan awam secara lisan atau bertulis yang memalukan jabatannya (kerajaan) [Peraturan 19(1)(b)]

(5) didakwa dan disabitkan atas pertuduhan jenayah (termasuk kesalahan jenayah syariah)
[Peraturan 28 dan Peraturan 29]

Apabila Dr. Najihah memviralkan di Facebook, video dan posting berkaitan hubungan sulit di antara Dr. Hanafi dengan Raihan, tindakan terburu-buru Dr. Najihah tersebut telah melanggar perkara (1), (2), (3) dan (4) di atas.

Tak kiralah apa pun sentimen netizen yang simpati dengan Dr. Najihah, Dr. Najihah tetap boleh dikenakan tindakan tatatertib.

Bagi Dr. Hanafi dan Raihan pula, jika pun betul mereka menjalinkan hubungan sulit, selagimana ia berlaku di luar waktu bekerja, tidak menjejaskan tugas awam mereka dan selagimana perbuatan mereka belum dilaporkan kepada Ketua Jabatan, mereka belum melakukan kesalahan tatatertib.

Namun, apabila laporan sudah dibuat oleh Dr. Najihah kepada Ketua Jabatan di Klinik Kesihatan Endau, Dr. Hanafi dan Raihan boleh dianggap telah melanggar perkara (3) di atas. Dr. Hanafi dan Raihan boleh dikenakan tindakan tatatertib.

Hubungan sulit tanpa pernikahan yang sah merupakan kesalahan jenayah syariah. Menceraikan isteri di luar mahkamah juga merupakan kesalahan jenayah syariah.

Sekiranya isu ini dibawa ke mahkamah syariah, dan sekiranya Dr. Hanafi dan Raihan kemudiannya disabitkan bersalah, maka kedua-dua mereka telah melanggar perkara (5) di atas. Dr. Hanafi dan Raihan boleh dikenakan tindakan tatatertib.

Apakah bentuk-bentuk hukuman tatatertib yang boleh dikenakan?
(A) amaran
(B) denda
(C) lucut hak emolumen
(D) tangguh pergerakan gaji
(E) turun gaji
(F) turun pangkat
(G) buang kerja [Peraturan 38]

Berdasarkan pengalaman saya mengendalikan kes-kes tatatertib terhadap penjawat awam, biasanya apabila kakitangan awam ada pendakwaan jenayah (termasuklah kesalahan jenayah syariah), tindakan gantung kerja akan diambil. [Peraturan 28 dan Peraturan 44(1)(a)]

Kemudian apabila kakitangan awam ada sabitan jenayah (termasuklah kesalahan jenayah syariah), tindakan buang kerja dan penamatan perkhidmatan akan diambil.
[Peraturan 29 dan Peraturan 45(1)(a)]

Fikir dahulu sebelum bertindak. Walaupun kita di pihak yang benar, tidak semestinya tindakan kita sentiasa betul dan tepat. Akhirnya, tiga-tiga boleh dikenakan tindakan tatatertib.

Jadi, apa patut seorang isteri lakukan jika berada dalam situasi Dr. Najihah yang dalam masa sama takkan merugikan pihak isteri, tapi akan menghukum suami dan perempuan ketiga tersebut?

Pertama, kumpul bukti kecurangan suami. Printscreen perbualan WhatsApp, rakam video, etc. Semua itu dah cantik Dr. Najihah buat.

Laporkan kepada Ketua Jabatan tempat kerja suami. Biasanya Ketua Jabatan takkan ambil tindakan. Dia akan bagi alasan, hal rumah tangga adalah peribadi, tiada kena mengena dengan hal kerja. Tak mengapa, biar dulu Ketua Jabatan sorok bawah karpet.

Laporkan pula kepada pejabat agama dan mahkamah syariah akan kecurangan suami. Bagi semua bukti suami bersekedudukan dengan perempuan lain.

Hubungan sulit tanpa pernikahan yang sah merupakan kesalahan jenayah syariah. Suami dan perempuan ketiga tersebut boleh didakwa di mahkamah syariah.

Kemukakan laporan kepada Ketua Jabatan tempat kerja suami dan perempuan ketiga tersebut, bahawa kes pendakwaan di mahkamah syariah sudah dimulakan terhadap suami dan perempuan ketiga tersebut.

Rujuk Peraturan 28, 29, 44(1)(a) dan 45(1)(a) di atas. Suami dan perempuan ketiga tersebut boleh serta-merta digantung kerja dan jika disabitkan bersalah boleh terus dibuang kerja.

Lambat memang lambat. Tapi sekurang-kurangnya pihak isteri yang teraniaya tidak merisikokan kerjaya sendiri demi membalas dendam.

Semoga isu Dr. Najihah – Dr. Hanafi – Raihan ini boleh memberi iktibar kepada kita semua.

*ASIAH ABD JALIL merupakan pengamal undang-undang.