Malaysia Dateline

Melayu bukan semua daripada Pas dan Umno, kata Anwar

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin kerjasama antara Umno dan Pas tidak memberi kesan kepada PKR serta gabungan Pakatan Harapan.

Beliau berkata bukan semua kaum Melayu merupakan anggota Pas dan Umno, sebaliknya PKR juga mempunyai anggota daripada kaum Melayu, selain mereka yang tidak menyertai mana-mana parti.

Di samping itu, katanya, PH sebagai kerajaan tetap memperjuang isu yang sama seperti Umno dan Pas terutama dalam menjaga hak dan keistimewaan Melayu dan Islam seperti yang tertakluk dalam Perlembagaan di samping menjaga kepentingan kaum lain.

“Bagi saya isunya ialah isu tadbir urus yang baik dan telus dalam membantu semua rakyat. Saya fikir pendekatan Pakatan Harapan (PH) itu ialah pendekatan bijak dan boleh selesai masalah rakyat terutama Melayu dan bukan Melayu yang memerlukan pembelaan,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Dewan Rakyat,hari ini.

Anwar, yang juga pengerusi kaukus itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pertemuan pemimpin tertinggi UMNO dan PAS dalam satu mesyuarat hari ini.

Dalam perkembangan lain, ditanya mengenai desakan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Uban A Kumaresan supaya beliau menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dengan segera, Anwar secara tenang dan ringkas mahu anggota parti menghormati pendirian PH untuk menyokong kepimpinan Dr Mahathir

“Saya akan nasihat anggota parti termsuk Adun untuk hormati semangat PH dan pendirian PKR untuk memberi sokongan kepada kepimpinanan Dr Mahathir sepetimana yang telah kita sepakati,” katanya.

Mengenai mesyuarat hari ini, beliau berkata antara lain ia membincangkan mengenai penubuhan  Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat Badan Kehakiman dan isu pembasmian kemiskinan.