Melayu, Bumiputera perlu berusaha lebih kuat, tandingi kaum lain

Melayu, Bumiputera perlu berusaha lebih kuat, tandingi kaum lain

Kaum Melayu dan Bumiputera perlu berusaha lebih kuat untuk menjayakan diri supaya mampu menandingi kaum-kaum lain di negara ini, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad

Ini kerana, kata beliau, hakikatnya ketika ini kaum Melayu dan Bumiputera ramai hidup susah dan menetap di luar bandar meskipun memiliki kuasa politik.

“Di negara kita sendiri kita telah berundur jauh dari bandar serta tinggal di luar bandar dan rata-rata kebanyakan daripada kita adalah keluarga miskin.

“Ya, hari ini kita berkuasa dalam bidang politik, dengan kuasa ini kita boleh beri sedikit bantuan kepada kaum Melayu, Bumiputera, fikirkanlah… tetapi kalau kita tiada kuasa politik dan kita tidak diberi keistimewaan bermakna kita akan jadi lebih daif daripada sekarang,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Pendidikan, Kerjaya dan Usahawan Muda Bumiputera (Putra) 2018 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, malam tadi.

Turut hadir isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Pengerusi Putra Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dan Naib Canselor UiTM Profesor Emeritus Datuk Dr Hassan Said.

Dr Mahathir menarik perhatian meskipun menetap di negara sendiri dan diberi bantuan namun kaum Melayu dan Bumiputera masih ketinggalan di belakang.

“Selain itu kita lihat orang asing yang dahulunya datang ke negara kita jauh lebih maju kerana mereka berusaha, mereka bekerja kuat, mereka belajar dalam pelbagai bidang dan berpelajaran. Kita dapati mereka sekarang kuasai ekonomi negara kita, apakah sebabnya?

“Apakah orang Melayu bodoh? Saya tidak percaya, kerana mereka ada kebolehan sama dengan orang lain tetapi kepintaran sahaja tanpa usaha tidak akan hasilkan kejayaan. Kita cekap, kita pintar, kita pandai tetapi jika tiada usaha tidak akan berjaya.

“Kalau kita sedar kita ketinggalan dan berasa malu kenapa ketinggalan di negara sendiri maka tentulah kita akan berusaha untuk menjayakan diri kaum kita supaya menjadi sama dengan kaum-kaum lain. Kalau kita ketinggalan di belakang kita kena lari lebih kuat daripada orang di depan,” katanya.

Perdana menteri dalam pada itu turut mengingatkan kaum Melayu dan Bumiputera supaya sentiasa bersyukur kerana hidup di negara yang aman dan harmoni.

Beliau berkata untuk membalas rasa kesyukuran itu, kaum Melayu dan Bumiputera perlu menjaga negara ini sebaik-baiknya.

“Inilah perasaan yang perlu ada pada kita, yang pertama kena rasa malu sebab ketinggalan dan kita akan kerja lebih kuat untuk atasi kelemahan kita. Kalau kita diberi peluang untuk belajar kuasai ilmu, kita kena balas balik nikmat yang kita terima secara percuma.

“Kedua, perasaan sayang kepada negara mesti ada pada kita. Kita tidak suruh jadi tentera, tidak suruh berkorban nyawa tetapi hanya suruh kita berusaha untuk bangunkan negara kita, untuk jaga keamanan di negara ini,” katanya.

Sementara itu, menjawab pertanyaan penonton mengenai pendirian kerajaan untuk tidak meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), Dr Mahathir berkata meskipun rakyat negara ini terdiri daripada berbilang kaum namun kejayaan atau kedudukan setiap kaum itu tidak sama.

Atas faktor itu, perdana menteri berkata negara ini tidak boleh menerima ICERD.

“Kalau kita tidak beri peluang kepada orang Melayu peluang lebih daripada kaum lain, kalau kita percaya kita mesti beri apapun secara sama, equality, maka yang sudah cekap akan lebih berjaya dan tidak cekap jadi lebih mundur.

“Sebab itu kita tidak boleh terima ICERD kerana ia tidak beri hak kepada kita untuk membezakan layanan bagi kaum-kaum di Malaysia sebab mereka tidak berada di taraf yang sama… dan kita tidak akan pinda perlembagaan kita,” katanya.

Pada majlis itu juga, Dr Mahathir dianugerahkan Tokoh Bumiputera Unggul 2018 atas sumbangannya kepada pembangunan kaum Melayu dan Bumiputera, dan anugerah itu disampaikan oleh Mohd Rafiq.

— BERNAMA