Melayu cemerlang akademik dari keluarga berjaya tidak berhak terima bantuan khas Bumiputera

Oleh ARIF ATAN

Setiap kali saya menentang dasar pro-Bumiputera, akan ada suara yang mengatakan saya Melayu liberal dan lupa daratan.

Jadi, saya nak mulakan dengan kisah peribadi, walaupun saya kurang senang kerana seperti “masuk bakul, angkat sendiri”.

20 tahun dahulu, ketika saya di sekolah rendah, setiap tahun (kecuali darjah satu) saya mendapat nombor satu dalam kelas, dan kelas itu pula yang teratas di dalam darjah. Cikgu punyalah sayang, didaftarkan saya ke macam-macam sekolah menengah elit.

Alhamdulillah, UPSR saya cemerlang, dan saya mendapat tawaran ke tiga institusi elit – Kolej Yayasan Saad Melaka, STAR Ipoh, dan MRSM Taiping. Sedikit berat hati, saya menolak kesemuanya.

Selepas SPM, saya ditawarkan pula ke Kolej Matrikulasi Perak, dan sekali lagi saya menolak. Untuk melanjutkan pelajaran ke universiti, saya langsung tidak membuat permohonan biasiswa atau pinjaman MARA. Kos pendidikan tinggi saya dibiayai sepenuhnya duit simpanan ayah.

Mengapa saya menolak semua peluang khas Bumiputera yang saya memang selayaknya terima? Kerana peluang dan kelayakan itu bukannya hak ya kawan-kawan.

Undurkan masa 50 tahun, seorang anak yatim diberikan biasiswa MARA untuk melanjutkan pengajian sarjana muda kejuruteraan di Rugby College of Engineering Technology, United Kingdom.

Setelah tamat pengajian, dia pulang ke Malaysia untuk berkhidmat di Bank Negara Malaysia selama 30 tahun sehinggalah bersara.

Anak yatim itu adalah ayah saya.

Ya, ayah saya adalah bukti kejayaan MARA pada masa itu memperkasakan anak-anak Bumiputera yang kurang bernasib baik.

Tapi adakah saya, walaupun seorang pelajar cemerlang, dengan segala kelebihan seorang ayah yang sudah pun berjaya, masih berhak menerima bantuan khas Bumiputera?

Tentunya tidak.

Ayah mendidik saya dengan satu soalan mudah: Apa faedah kerajaan memberikannya biasiswa, jika hasilnya adalah kerajaan masih perlu menanggung keturunannya?

Masa itu saya berharap, setiap tempat yang saya lepaskan itu diisi seorang lagi anak susah atau yatim seperti ayah saya. Tapi mungkin saya terlalu idealistik dan naif.

Cukuplah dengan menghitung kenderaan mewah yang menghantar pelajar-pelajar ke SBP, MRSM, dan UiTM zaman sekarang.

Saya juga pernah dihubungi seorang kawan berbangsa Cina untuk bekerjasama menubuhkan syarikat di mana saya sebagai Melayu dijadikan penama pemegang saham kerana syarikatnya ingin memperoleh kontrak kerajaan.

Agak janggal bagi saya yang ingin membantu perniagaannya (yang sememangnya layak), tapi kerana saya tidak selesa mengambil imbuhan atas angin, saya menolaknya dengan baik.

Jika saya mengambil semua peluang yang dihidangkan kepada saya, mungkin saya sudah kaya raya sekarang. Tapi saya ingin persoalkan:

Adakah saya masih mendapat semua peluang itu andainya saya seorang anak kampung yang tidak mendapat “A” berderet-deret?

Atau saya tidak berkawan dengan ahli perniagaan? Atau saya tidak membesar di bandar dan fasih berbahasa Inggeris?

Sistem yang kita ada sekarang lebih menguntungkan yang sudah beruntung dan mengkayakan yang sudah kaya. Masa depan anak-anak jelata tidak boleh bergantung kepada sistem yang mengharapkan orang seperti saya untuk sentiasa melepaskan peluang kepada mereka.

Jangan salah faham, meritokrasi bukan penyelesaiannya.

Kita masih memerlukan dasar tindakan afirmatif, tetapi yang tertumpu kepada lapisan masyarakat yang benar-benar memerlukan. Dasar yang hanya menilai keperluan berdasarkan kaum terbuka kepada eksploitasi kuasa dan harta, merugikan Bumiputera juga akhirnya.

Lebih 60 tahun merdeka, dan 50 tahun dasar tindakan afirmatif berorentasikan kaum yang kononnya pro-Bumiputera, hasilnya Bumiputera masih golongan termiskin di Malaysia, terpaling ramai B40.

Memetik ungkapan popular, “Kegilaan adalah melakukan hal yang sama berulang-ulang dan mengharapkan hasil yang berbeza”.

Semua rakyat marhaen, terutamanya Melayu, perlu bersatu menentang dasar pro-kapitalis yang disolek sebagai dasar pro-Bumiputera.

Kita perlu sedar bahawa manifestasi moden dasar pro-Bumiputera jarang menguntungkan Bumiputera yang benar-benar memerlukan.