Malaysia Dateline

Melayu dan `Chaos’

Adalah dirasakan sejak kemenangan kerajaan PH orang Melayu berada dalam situasi kekacauan atau kegalauan dalam apa yang disebutkan chaos. Ini terutamanya berlaku orang Melayu di luar bandar dan para pengikut Umno.

Mereka berasakan seperti sudah kehilangan tongkat dan naungan sehingga mengoncangkan keyakinan akan kedudukan agama Islam seperti termaktub dalam perlembagaan Persekutuan.

Mereka tidak mengalami pengalama tukar kerajaan di peringkat Persekutuan. Dalam isu ICERD, kuil Hindu dan kematian Adib, mereka masih melihatnya sebagai isu mengancam keumatan Melayu yang dikaitkan dengan pengembalian kuasa Umno kembali, bukannya kaitan dengan ketamaduan dan keilmuan Melayu.

Situasi orang Melayu ini berada dalam pertamanya kekerasan politik. Apakah yang dimaksudkan dengannya? Tiada lagi budaya malas dan suka cari jalan mudah. Kekerasan politik ini juga dimaksudkan sebagaimana yang dijelaskan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir adalah penting untuk Melayu sendiri menukar nilai hidup yang dipegang dan diamalkan, terutamanya yang tidak sepadan dengan kejayaan.

Keduanya situasi kerusuhan sosial seperti demontrasi isu anti-ICERD dan kematian Muhammad Adib yang dilihat sebagai kegawatan sosial.

Ketidakpastian ekonomi yang dijelaskan diperhatikan daripada rasuah dan porak peranda yang berlaku dalam instituisi kerajaan seperti Felda dan Tabung Haji.

Inilah menunjukkan bangsa kita ini sedang berada dalam situasi chaos. Maksud kekacauan di sini bukankah bermaksud keadaan yang tidak stabil atau tunggang langgang.

Maksud ‘chaos’ di sini sebagai suatu penggugatan yang jika tidak difahami tanda-tandanya akan membawa kepada situasi chaos yang sebenar.

Terdapat empat petanda yang boleh menarik ke arah situasi kekacauan atau sekurang-kurangnya membawa kepada benturan sosial dalam kalangan orang Melayu.

Pertama, kekuatan ledakan.Sejauh manakah kemenangan kerajaan PH akan membawa ledakan dalan kalangan orang Melayu. Misalnya ahi parlimen dan adun yang meninggalkan Umno untuk masuk Bersatu atau parti-parti politik lain. Mereka menjadi bit-bit atom kekuasan yang berserakan setelah kuasa tunggal iaitu Umno  telah lemah. Mereka mencari ruang pergantungan lain. Sejauh manakah ledakan ini membawa kepada kekuatan-kekuatan kuasa baharu atau menjadi sseparatimse, disintegrasi dan pepecahan atatau berkumpulan membina kuasa di bawah pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu atau berkumpulan membina kekuatan baharu di bawah parti Bersatu misalnya.

Kedua, ledakan dalaman atau implosion. Ini pernah disebut Jean Baudrillard dalam Forget Foucault (1987) sebagai ledakan dalaman yang menyebabkan kekuasaan tunggal menjadi berjuta kekuasaan yang saling berdesakan. Ada dua jenis ledakan dalaman satu, pertumbuhan parti Melayu acuan Umno oleh mereka yang meninggalkan akibat kekalahannya dalam pilihan raya dan kedua, dalam Umno sendiri ada kekuatan baharu oleh pemimpin baharu yang dapat menarik kekuatan baharu seperti kekuatan Fasis Melayu.

Ledakan dalaman juga boleh berlaku dalam parti komponen seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) sekitranya berlaku keretakan hubungan antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Datuk Seri Azmin Ali yang boleh membawa PKR terbelah dua dan wujudnya dua pengaruh. Azmim boleh menjadi pemimpin tunggal.

Ketiga, pemikir pasca-moden Indonesia, Yasraf Amir Piliang menyebutnya sebagai Nomadology, konsep yang dipetik daripada Gilles Deluuze dan Felix Guarttari kekuatan nyah-wilayah. Ini bemaksud selepas kekalahan Umno dalam piihan raya lepas, banyak wilayah pengaruh Umnotelah kalah kepada kumpulan parti PH seperti di Melaka, Johor, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah. Banyak perkara-perkara kebencian kepada BN telah jelaskan oleh undian rakyat. Tetapi merampas kembali kekuatan wilayah yang kalah akan kembali bergema dengan semangat Melayu sebagai kekuatan baharu untuk kebangkitan Pas, Umno dan NGO-NGO Melayu.

Bahkan benih-benih kekacauan akan ditanam supaya timbulnya kebencian kepada kerajaan sekarang oleh NGO-NGO semu yang hidup dalam media sosial.

Terakhir ialah kekuatan fitnah dan menghasut. Suatu kekuatan dahyat yang terdapat dalam media sosial. Fitnah dan menghasut adalah kekuatan hebat yang boleh mengadu-dombakan masyaraat majmuk. Ia boleh menciptakan kekacauan di dalam keadaan tidak menentu. Ia boleh menjadi sumbu-sumbu kepada ledakan kebencian, pemisahan dan porak peranda, dan ini boleh terjadi dalam medan media sosial. Keretakan boleh sahaja berlaku dalam parti politik sama ada kerajaan atau pembangkang.

Ini adalah empat petanda yang boleh menggugat masyarakat Malaysia khususnya dalam kalangan orang Melayu.

Jika empat petanda semakin berterusan adakah timbul suatu wacana yang diberikan nama sebagai chaosophy. Ia bermaksud segala pemikiran dan tindakan untuk dengan sengaja melahirkan situasi-situasi kekacauan dalam masyarakat demi keuntungan politik tertentu.

Siapakah para aktornya? Ia terdiri daripada para intelektual, provakator dan penghasut, perusuh dan pencetus kekacauan yang kebanyakannya berada di media sosial. Mereka adalah apa yang disebutkan sebagai – the chaos machine.

*Penulis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran. Universiti Selangor (Unisel)