Malaysia Dateline

‘Melayu elit tak peduli sejarah, Melayu totok tak tahu sejarah’

Ramai generasi muda menganggap Sungai Pantai yang tebingnya sudah dikonkrit sebagai longkang besar walaupun lebih 50 tahun lalu sungai ini mempunyai pantai batu dan pasir yang mengalir jernih.

Tokoh wartawan, Datuk Abdul Kadir Jasin menempelak sikap sebahagian masyarakat Melayu yang mengabaikan sejarah selepas meninjau keadaan Sungai Pantai tidak jauh dari Universiti Malaya (UM).

Beliau berpendapat mutu sungai itu yang jauh berbeza berbanding lebih 50 tahun lalu serta penukaran nama Kampung Kerinchi kepada Bangsar South berlaku kerana sikap Melayu segenap lapisan kelas yang mudah melupakan warisan sejarah.

“Nama Kampung Kerinchi pun tidak digunakan lagi. Sudah diganti dengan nama orang putih, Bangsar South. Demikianlah mudahnya Melayu lupa sejarah dan legasi.

“Dua kali lima. Melayu elit tak peduli sejarah. Melayu totok tak tahu sejarah,” katanya sebagai reaksi kepada komentar seorang pengguna Facebook.

Beliau turut memberitahu siapa syarikat pemaju yang menukarkan nama Kampung Abdullah Hukum kepada KL Eco City.

“Ini projek SP Setia. SP Setia ini milik PNB (Permodalan Nasional Bhd). PNB ini Melayu,” jelasnya.

SP Setia membangunkan KL Eco City di kawasan seluas 10 hektar di tapak bekas Kampung Haji Abdullah Hukum dengan nilai RM7 bilion.

Pembangunan bersama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bermula sejak tahun 2011 itu adalah satu daripada projek pembangunan bercampur bagi kediaman dan komersial bersepadu terbesar di negara ini.

Untuk rekod, PNB ditubuhkan pada 1978 sebagai instrumen Dasar Ekonomi Baru (DEB) negara yang kemudiannya berkembang menjadi syarikat pengurusan dana yang terbesar di Malaysia.

PNB juga merupakan pemilik penuh syarikat pengurusan unit amanah, Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB).

Mengulas lanjut, Kadir yang juga bekas Penasihat Komunikasi dan Media kepada Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri berkata, air Sungai Pantai sejernih kristal pada tahun 1969.

Menurutnya, tebing sungai tersebut mempunyai pantai batu dan pasir dengan airnya menjadi tempat berenang ikan seluang.

“Di situlah tempat saya mandi setiap pagi ketika menumpang di sebuah rumah setinggan di Kampung Kerinchi.

“Dengan memakai sarong pulicat (pelikat), baju kemeja T, tuala di bahu dan sambil menggonggong berus gigi saya menyeberangi jalan raya Kuala Lumpur-Petaling Jaya ke sungai itu.

“Di sungai itulah penduduk setinggan Kampung Kerinchi mandi-manda dan mengangkut air. Di hilir Sungai Klang dan di hulu Universiti Malaya,” ceritanya.

Beliau yang meninjau sungai itu pagi semalam berkata, wajah Sungai Pantai tidak lagi serupa seperti yang pernah dikenalinya.

“Tebingnya sudah dibendung dan dasarnya dipasang konkrit. Namanya masih sungai tetapi penampilannya sebuah longkang besar.

“Tapi apa yang hendak dikata. Kuala Lumpur sudah menjadi bandar raya. Jalan dua lorong sudah lama dinaikkan taraf menjadi Lebuhraya Persekutuan,” keluhnya.

Sehubungan itu, Kadir menyifatkan satu demi satu nama Melayu digantikan dengan nama-nama asing atas alasan penjenamaan semula.

“Agaknya apakah nama baru Kampung Baru apabila dirobohkan dan dibangunkan semula?” soalnya dalam hantaran di Facebook beliau.