Malaysia Dateline

Melayu Johor hanya mainan pemuas nafsu kuasa

Apa yang berlaku dalam situasi kelam-kabut antara kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan pembangkang di Johor merupakan wajah sebenar parti oposisi selama ini hanya menjadikan rakyat sebagai mainan pemuas nafsu kuasa semata-mata.

Ini ternyata jelas apabila belum apa-apa lagi, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad telah tergopoh-gapah mengeluarkan kenyataan telah mendapat majoriti untuk membentuk kerajaan di Johor.

Perjuangannya selama ini yang bermain sentimen perkauman, kebangsaan dengan slogan Melayu Islam telah dijelaskan dengan usaha beliau menjatuhkan kerajaan. Memang ramai yang keliru dan terpukau dengan panahan kata-kata dari parti Melayu purba Umno serta rakan sekutunya Pas yang mempunyai satu kerusi sahaja.

Bangsa Melayu yang selama ini terlena dengan buaian mainan kata-kata manis pencatur kuasa seharusnya sedar dengan kelemahan yang mereka lemparkan selama ini. Gabungan politik Melayu tidak akan membawa maksud apa-apa sekalipun malahan ia hanya menjadi permainan apabila masa ia diperlukan.

Jika sebelum ini semangat pemisahan kaum pada era 13 Mei 1969 telah berjaya dipadukan namun hari ini perkara itu kembali didendangkan. Seolah-olah usaha parti Melayu Umno selama 60 tahun 9 bulan dari tarikh kemerdekaan tidak mendatangkan hasil yang membawa keharmonian kepada negara.

Sekiranya hari ini Melayu lemah dan ketinggalan ternyata bukan ianya datang dari pemerintahan selama setahun sembilan bulan tetapi pastinya ia berlaku sejak pemerintahan Umno-BN lagi. Namun, tidak ramai orang Melayu yang mahu mengambil tahu dan membaca akan perkara itu. Kelemahan itulah yang membuatkan Umno atau muafakat nasional berjaya menyumbat hasutan menakutkan Melayu.

Jelas, hal itu hanyalah mainan dari mereka yang mahukan kuasa dan perkara itu jelas dengan kenyataan gopoh dari Hasni untuk membentuk kerajaan membelakangkan prinsip demokrasi yang selama ini terbina di negara ini.

Umno patut menumpukan usaha untuk membangunkan rakyat di kawasan mereka masing-masing bukan dengan 24 jam menyusun serta mencatur politik peribadi mereka. Permasalahan rakyat serta apa yang diperlukan rakyat harus menjadi matlamat awal untuk mereka utamakan.

Apa yang ada dalam minda dan kepala mereka hanya untuk memerintah tanpa memikirkan nasib rakyat yang selama ini terus-menerus mengharapkan mereka. Jika ada sekali pun hanyalah untuk mereka fikirkan soal momentum politik mereka.

Secara jujurnya keikhlasan Hasni tidak sekali pun wujud untuk memperjuangkan Melayu dan Islam. Apa yang difikirkan hanyalah kepentingan peribadi dan bukannya semangat memperjuangkan rakyat secara adil dan telus.

Paling menyedihkan, Hasni tergamak membawa cerita karut dengan menuduh mempunyai majoriti yang cukup membentuk kerajaan dengan menyatakan dua Adun dari parti AMANAH akan melompat. Sudah terang lagi bersuluh, beliau terus menerus menipu.

Inilah cerminan pemimpin yang mengangkat dirinya sebagai pejuang Melayu yang pandai menipu serta memberi alasan sekiranya beliau tidak dapat mengotakan kata-katanya. Seorang penipu bukanlah pejuang Melayu yang patut diangkat sebagai pemimpin.

Hari ini seawal pagi tadi, parti AMANAH telah mengeluarkan kenyataan bahawa kesembilan Adun parti itu bersama dengan kepimpinan PH. Ternyata Hasni semalam telah berbohong serta menunjukkan wajah sebenar beliau yang hanya gila dan tamakkan kuasa.