Melayu pendatang: Pemuda Umno Selangor pula buat laporan polis

Melayu pendatang: Pemuda Umno Selangor pula buat laporan polis

Walaupun Menteri Sumber Manusia  M. Kula Segaran sudah membuat permohonan maaf hari ini, namun tindakan itu tidak
dapat diterima oleh Pergerakan Pemuda Umno Negeri Selangor.

Hari ini sekumpulan Pemuda Umno Negeri Selangor telah membuat laporan polis terhadap menteri terbabit untuk menggesa polis menyiasat dakwaan yang dibuat oleh Kula Segaran berkaitan kaum Melayu adalah pendatang.

“Kami menggesa dan mendesak supaya YB Kulasegaran disiasat dan diambil tindakan yang tegas oleh pihak berkuasa. Ini memandangkan beliau sebagai menteri sumber manusia seharusnya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang menjurus kepada hasutan.

“Sebagai seorang yang memegang jawatan menteri sumber manusia, beliau seharusnya berhati hati ketika memberi kenyataan dan fokus terhadap kerja – kerja bagaimana cara untuk meningkatkan lagi prestasi di jabatan beliau dan bukannya menipu rakyat dengan sewenangnya,” ujar Ketua Pengerakan Pemuda Umno Selangor Rizam Ismail.

Pemuda Umno Selangor membuat aduan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Shah Alam tengahari tadi.

Beliau turut menggesa Naib Presiden DAP itu untuk menghormati perlembagaan Malaysia dan tidak memanipulasi sejarah pembentukan negara malaysia ini sewenang-wenangnya.

“Saya sekali lagi mohon pihak polis segera menyiasat YB Kula Segaran ini kerana beliau cuba cetuskan api kemarahan orang Melayu dengan kenyataan beliau sebelum ini.

“Saya lihat beliau ini cuba untuk mengalih isu utama nasional dimana kita lihat rakyat amat marah dan terkesan dengan janji janji kerajaan PH yang tidak ditunaikan lagi seperti harga barang yang tidak turun dan sebagainya,” ujarnya.

Sejak beberapa hari lalu Naib Presiden DAP itu mendakwa bangsa Melayu adalah kaum pendatang di Malaysia.

Kula Segaran mengaitkan Bangsa Melayu sebagai  ‘Pendatang’ . Istilah ini adalah amat sensitif kerana boleh menggangu-gugat keharmonian kaum, katanya lagi.