Malaysia Dateline

Melayu perlu akui kesilapan masa lalu, untuk berjaya di masa depan

Masyarakat Melayu diseru merenung kesilapan sendiri dan tidak menuding jari kepada orang lain dalam menghadapi pelbagai kegagalan.

“Satu ciri penting orang yang mahu berjaya ialah mengakui kesilapan-kesilapan lalu dengan tujuan untuk melakukan perubahan,” kata bekas ketua eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) Dr Ir Mustafa Salleh.

Percubaan menuding jari kepada orang lain untuk menjustifikasi kegagalan kita menurutnya tidak akan memberi apa-apa faedah sebaliknya lebih banyak kesukaran terpaksa kita hadapi.

“Dengan mencerca orang lain, kita semakin kehilangan kawan dan tentunya kita akan sukar mendapat bantuan dari pihak lain dalam membina semula kekuatan sendiri,” katanya dalam slot bicara pagi yang disiarkan secara langsung melalui FB live pagi tadi.

Dr Mustafa yang kini dilantik sebagai pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Chetok sedang menggerakkan pelbagai program pembangunan komuniti desa di kawasan beliau.

Dalam slot pagi tadi beliau berkomunikasi dengan pemimpin-pemimpin dan usahawan bagi meningkatkan pemahaman tentang kejayaan diri dalam kepimpinan dan keusahawanan.

“Kita perlu balik kepada asas (basic) kerana mereka yang berjaya mempunyai satu persamaan dalam amalan-amalan asas,” katanya.

Antara ciri utama mereka yang berjaya katanya ialah kesanggupan mengakui kesalahan dan kesilapan dalam setiap gerakerja yang pernah dilakukan.

“Sikap yang beranggapan bahawa semua yang kita lakukan mesti betul dan semua yang dilakukan orang yang tidak sehaluan dengan kita mesti salah bukanlah ciri orang yang mahu berjaya.

“Kebaikan dan kebenaran boleh datang dari sesiapa sahaja yang mesti kita terima dari berbagai cara pembelajaran,” katanya.