Malaysia Dateline

Melayu tidak peduli tanah tergadai kepada kapitalis asing

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu berpendapat masyarakat Melayu majoritinya bersikap tidak peduli apabila sejumlah besar tanah tergadai kepada golongan pemodal asing.

Menurut Ahli Parlimen Kota Raja itu, perkara tersebut berlaku walaupun rata-rata bangsa Melayu amat membenci komunisme.

“Apabila Yang Berhormat Adly mendedahkan dalam sidang DUN Melaka bagaimana seorang Tionghoa Singapura bermodalkan 100 dolar Singapura menggunakan orang tempatan dapat mengambil tanah di Melaka 1,100 ekar dengan memiliki perkongsian 49 peratus, orang Melayu tidak rasa apa-apa kehilangan.

“Apabila didedahkan Forest City, bagaimana bandar itu akan tergadai kepada kapitalis asing, orang Melayu tidak peduli.

“Tetapi orang Melayu amat marah apabila abu Chin Peng dibawa balik. Nampak tak? Hilanglah tanah, tidak mengapa. Janganlah abu Chin Peng dibawa balik.

“Sampai bila kita hendak berada hidup dalam propaganda yang dicipta ini?” soalnya ketika berucap semasa Majlis Pelancaran Buku “Juang Mat Sabu” di Mardhiyyah Hotel & Suites di Shah Alam hari ini.

Buku tulisan bekas Menteri Pertahanan itu dilancarkan oleh Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Turut hadir Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar; penyair Pyanhabib selain pemimpin Pakatan Harapan (PH) antaranya, Naib Presiden PKR, Tian Chua dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dari DAP, Ng Suee Lim.

Dr Wan Azizah melancarkan buku tulisan Mohamad, “Juang Mat Sabu” di di Shah Alam hari ini.

Berucap lanjut, Mohamad yang mesra dipanggil Mat Sabu itu berpendapat rasisme dalam pemikiran masyarakat Melayu diburukkan lagi dengan sikap golongan intelektual dan agamawan tertentu.

“Soal perkauman sudah jadi persepsi yang sukar dibuang, tambahan pula majlis profesor mendukung fahaman seperti itu.

“Sekarang ini para agamawan tidak ikut lagi agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad, sebaliknya ikut agama yang dibawa lebai-lebai… lebai Mesir, lebai Mekah, lebai Melayu,” tegasnya.

Berkongsikan pengalamannya menziarahi pemimpin komunis antaraya kem Abdullah CD dan kem kaum Cina di Betong, Thailand, Mohamad berpendapat masyarakat Melayu hidup di bawah propaganda bukan realiti apabila amat membenci komunis dan sosialis.

“Kebencian kepada komunis itu begitu tinggi sehingga orang tak benci kepada penjajah Inggeris dan Jepun kerana propaganda yang dihadapkan kepada rakyat.

“Sebab itu apabila saya timbulkan isu Mat Indera pejuang kemerdekaan, rumah saya di Shah Alam cuba dibakar. Nasiblah jiran datang memadam (api).

“Saya berceramah dibaling dengan batu akibat dididik siapa yang melawan kerajaan dianggap sebagai menyokong komunis walaupun waktu itu tanah air belum merdeka.

“Inilah indoktrinasi yang masuk dalam pemikiran rakyat,” tegas Mohamad.

Bekas Timbalan Presiden Pas itu berkata, hal sama juga berlaku dalam negara-negara Islam apabila berlakunya pertembungan fahaman antara Ahli Sunnah dengan Syiah.

“Samalah juga dengan propaganda mutakhir, soal sunni dan syiah yang akhirnya membawa pertarungan sangat dahsyat. Kita lihat satu demi satu negara yang mempelopori isu mazhab itu mengiktiraf Israel.

“Sepatutnya, intelektual kita berperanan supaya kita hidup dalam realiti bukan propaganda,” tambah Mohamad lagi.

Tan Sri Johan Jaaffar (kanan) dan Pyanhabib (kiri) turut hadir dalam pelancaran “Juang Mat Sabu”.
Mohamad menandatangani buku yang memuatkan cerita di sebalik tabir sejumlah peristiwa politik tanah air selain isu antarabangsa.