“Melepas hajat aku nak jadi isteri kedua, bini pertama minta cerai sebelum kami kahwin”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita mula menyimpan hasrat untuk menjadi isteri kedua setelah menjalinkan hubungan dengan suami orang yang memiliki empat orang anak.

Namun hasrat wanita itu tidak kesampaian apabila isteri kepada lelaki terbabit yang sedang berpantang selepas bersalin anak bongsu mendapat tahu hubungan mereka.

Berikut perkongsian wanita yang merasa serba salah atas tindakannya merampas kebahagiaan orang lain namun masih mahu memperjuangkan cintanya pada masa sama.

“Assalamualaikum. Hai aku Nur, berumur 23 tahun. Cerita ini adalah tentang aku dan seorang cikgu (bukan guru sekolah), bagaimana kami berjumpa dan pada akhirnya bersama. Aku telah disahkan menghidap sakit mental iaitu masalah tekanan pasca-trauma (PTSD) oleh doktor yang ditugaskan untuk merawatku.

“Hal ini kerana tujuh tahun lalu, aku telah didera oleh bekas kekasih. Akibatnya, aku mengalami trauma yang teruk sehingga hampir mahu membunuh diri. Mulai saat itu, aku mula mencari sesuatu untuk kembali menceriakan hidup ini. Pada suatu hari, aku terjumpa dengan seorang guru iaitu Cikgu M. Aku belajar dengan dia.

“Aku mula rasa selesa dengan Cikgu M walaupun tahu dia sudah memiliki isteri dan tiga orang anak. Tahu sebab masa sedang belajar, aku nampak gambar ‘wallpaper’ telefon Cikgu M. Aku teruskan belajar macam biasa tetapi pada masa yang sama, ada bercerita jugalah mengenai masalah diri ini kepada Cikgu M.

“Kemudian Cikgu M menawarkan dirinya untuk bantu pulihkan aku dari sakit mental. Pada mulanya, aku anggap dia mungkin nak bantu setakat itu sahaja. Namun lama-kelamaan, aku dan Cikgu M sama-sama terjatuh sayang tanpa pengetahuan isteri dia. Cikgu M selalu memantau perkembangan kesihatan mental aku.

“Selalu bawa pergi buat rawatan susulan dengan doktor pakar sakit jiwa dan sering mencuba untuk bahagiakan aku. Cikgu M ada beritahu aku untuk cubalah berkawan dengan isteri dia. Aku takut tetapi pernahlah juga hantar pesanan dekat Whatsapp isterinya. Waktu itu, aku perkenalkan diri sebagai seorang pelanggan.

“Sebab isteri Cikgu M ini menjual produk kecantikan. Dia layan aku dengan sangatlah baik. Aku pula rasa macam lebih takut untuk terus berkenalan dengan isteri cikgu M. Jadi aku hentikanlah perbualan kami. Cikgu M juga tak memaksa aku untuk teruskan berhubung. Namun akhirnya isterinya tahu juga mengenai hubungan kami.

“Waktu itu, sudah hampir lima bulan aku berkawan dengan Cikgu M. Isteri dia minta untuk berjumpa dengan aku. Pada hari kami berjumpa itu, isterinya berada di dalam tempoh pantang anak keempat mereka. Dia baik, tak marah atau menengking aku. Isteri Cikgu M bercerita tentang dirinya, anak dan zaman belajar dia.

“Aku mendengar semuanya. Selepas itu, aku minta bantuan isteri Cikgu M kerana tak mahu lagi jadi orang ketiga dalam rumahtangganya. Jadi isterinya juga sudilah untuk membantu. Selepas perjumpaan itu, aku ada berhubung dengan dia selama tiga ke empat hari sahaja. Sebab aku juga sudah mula merasa serba salah.

“Serba salah untuk teruskan hubungan aku dan Cikgu M. Namun semakin menolak, makin dekat aku dengan Cikgu M. Dia sangat ambil berat dengan aku. Jadi susahlah untuk aku lepaskan dia. Walaupun pada masa yang sama, aku juga tak nak sampai terjadinya perpisahan antara Cikgu M dan isterinya suatu hari nanti.

“Aku pernah beritahu Cikgu M yang diri ini sudi menjadi isterinya yang kedua. Cikgu M juga sudah suarakan hasratnya kepada isteri dia. Tetapi isterinya tak setuju. Mungkin kalau aku berada ditempat isterinya juga tak bersetuju. Iyalah, suami kita nak kahwin lain ketika masih dalam pantang. Aku bolehlah terima keputusan itu.

“Isteri Cikgu M pernahlah bertanya kepada aku. Kalau suami sayangkan aku, perlu ke dia ada wanita lain? Aku juga jawab tak perlu. Namun Cikgu M sudah hampir berjaya memulihkan kesihatan mental aku. Jadi aku tak tahulah apa yang akan terjadi pada diri ini sekiranya hubungan dengan Cikgu M ini diputuskan kelak.

“Nak dijadikan cerita selepas hampir setahun hubunganku dengan Cikgu M berjalan, dia beritahu isterinya telah memfailkan penceraian. Cikgu M tak nak berpisah dengan isterinya tetapi pada masa yang sama, dia sayangkan aku. Selepas kali terakhir kami berjumpa, aku terus tak berhubung dengan isterinya sebab takut.

“Untuk makluman, hubungan dengan Cikgu M ini hanya diketahui oleh ayah aku. Dia ada nasihatkan aku yang Cikgu M ini masih ada anak dan isterinya lagi. Hari Cikgu M dan isterinya dibicarakan tentang perceraian mereka, aku jadi tak keruan. Takut juga sebab dapat rasa apa yang terjadi adalah berpunca daripada aku.

“Tetapi aku sayang sangat kepada cikgu M dan rasa tak sanggup nak tinggalkan dia. Tak lama kemudian, cikgu M beritahu dia dan isteri telah berpisah cara baik. Masa itu aku juga tak tahu nak respon apa. Selepas mereka bercerai, bekas isteri cikgu M ada hubungi aku. Dia beritahu anggaplah hubungan mereka tiada jodoh.

“Aku juga diminta gantikan tempatnya sebagai isteri Cikgu M. Perasaan aku waktu itu bercampur baur antara takut, sedih dan suka. Siapa tak suka, kahwin dengan orang yang kita sayang. Nak dijadikan cerita, aku juga akhirnya mendirikan rumah tangga dengan Cikgu M selepas empat bulan dia dan isteri berpisah.

“Cuma perkahwinan kami ini masih belum dapat diterima oleh keluarga cikgu M lagi. Dapat rasakan mereka tak senang dengan kehadiran aku sebagai orang baru yang menggantikan tempat bekas isteri Cikgu M. Tetapi aku sangat berharaplah keluarga cikgu M terbuka untuk menerima aku suatu hari nanti.

“Semoga hubungan kami sampai akhir hayat kami. Setakat hari ini, aku dan Cikgu M bahagia. Walaupun riak muka Cikgu M nampak macam berat kadang-kadang. Tetapi dia cakap memang bahagia dapat aku sebagai isterinya. Cuma aku masih rasa takut lagi untuk berhadapan dengan bekas isteri cikgu M.

“Aku berharap satu hari nanti, dapatlah berbaik dengan bekas isteri suami dan anak-anak tiri. Terima kasih sudi baca cerita aku yang terlajak sayang kepada suami orang tetapi tak tahu macam mana nak berpatah balik.” Kongsi Nur (bukan nama sebenar menerusi satu hantaran di sebuah forum atas talian.

Baca juga: “Suami sanggup suruh seseorang buat ‘report’ pasal syarikat aku, punca sebab gaduh kecil je”