Malaysia Dateline

Melihat Covid-19 dari aspek positif, tiada pencemaran

Sungai Klang di Kuala Lumpur mengalirkan air jernih, sungai Kelantan tidak lagi kuning manakala di India, rakyatnya boleh menyaksikan banjaran Himalaya buat pertama kalinya sejak berdekad.

Itulah kesan positif wabak Covid-19 seluruh dunia apabila kenderaan tidak lagi berada di jalan raya dan tidak lagi membebaskan gas yang mencemarkan alam sekitar.

Menurut Foxnews, di Carlifornia, Amerika Syarikat, ketiadaan aktiviti manusia khasnya tiada kenderaan di jalan raya akibat dari Covid-19 telah menyebabkan jatuhnya kepekatan gas Nitrogen Dioxide di udara.

“Nitrogen Dioxide datang dari asap kenderaan dan mencemarkan alam sekitar,” lapor media itu.

Perbandingan kualiti air di Sungai Kelantan, sebelum dan selepas Covid-19 melanda dunia.

Di Kuala Lumpur, wartawan yang juga jurufoto Jahabar Sadiq menyiarkan gambar-gambar menarik Sungai Klang yang melalui celah-celah bangunan di Kuala Lumpur.

“Tiada trafik, tidak ada sampah yang dibuang, tidak ada lumpur dari kawasan pembinaan. Hanya kedamaian dan udara yang segar,” tulis Jahabar dalam facebook beliau.

Di Kota Bharu, Sungai Kelantan yang biasanya mengalir lesu dengan air keroh berwarna kuning kini bertukar jernih.

“Kerana tak hujan atau kerana tidak ada pergerakan manusia,” tanya Abdul Fatan Haron, veteran politik Kelantan sambil menyiarkan gambar sungai Kelantan di dua masa berbeza, sebelum dan ketika Covid-19 melanda.