Melihat dengan minda menghukum

Melihat dengan minda menghukum

Bila saya kata tak mahu hadir ke perhimpunan 355 di Padang Merbuk KL, Sabtu 18 Februari, beberapa orang kawan melihat saya seperti musuh Islam.  

Saya hairan. Begitu mudah sekali mereka menghukum seseorang, atau melihat seseorang dengan minda menghukum. Dan saya lalu terfikir: apakah Islam di kalangan umatnya hari ini sudah sampai ke tahap itu? Melihat dengan minda menghukum?

Dan dalam kehairanan itu saya pun teringat akan sekitaran hidup orang Islam di negara ini pada hari ini. Dipenuhi dengan wacana menghukum. Dengarlah tazkirah dan ceramah agama yang kini boleh didengar dan ditonton di mana-mana. Apa isinya? Mengajar mengenai hukum. Hukum itu dan hukum ini.

Dalam keadaan hidup yang tertekan dan terhimpit dengan pelbagai masalah dan kesusahan, pun mereka masih ghairah bercakap dan berusaha ke arah membolehkan mereka menghukum orang, dengan lebih lagi. Mengapa terjadi begitu? Bilakah Islam mengajarkan demikian? Apakah sirah Nabi menceritakan hal yang demikian?

Seingat saya tidak ada pun yang demikian itu dalam sirah Nabi. Hal hukum menghukum itu bukanlah keutamaan dalam sirah Nabi. Tetapi kenapa sekarang dalam persekitaran hidup yang lebih maju dan bertamadun, lebih berilmu dan bermaklumat, ketika fikiran manusia relatif lebih terbuka dan merdeka, kita pula terdesak hendak membangunkan kehidupan yang sarat dengan menghukum?

Begitu terdesaknya kita mahu menghukum orang hingga kita melupakan pelbagai masalah dan kemungkaran yang sedang berleluasa dalam sekitaran hidup kita. Masyarakat sedang dihimpit dan disibukkan oleh masalah ekonomi negara yang di ambang kebankrapan, jenayah rasuah yang sedang meruntuhkan banyak tiang-tiang nilai dan institusi yang berfungsi memelihara keutuhan negara, dan kita tidak mempedulikan itu semua melainkan hendak menghukum orang.

Saya takut bahawa ini adalah tanda-tanda psikologis sebuah masyarakat yang sedang mengalami kekalahan dan berasa tidak mampu hendak bersaing dengan masyarakat bukan Islam di sekelilingnya, yang sedang menunjukkan pelbagai pencapaian hingga mungkin menenggelam-kan kewajaran Islam sebuah agama yang “tinggi dan tiada yang mengatasinya” (yak’luu walaa yuk’laa ‘alaihi).

Malanglah apabila penyakit psikologis ini melanda para pimpinan Islam hari ini. Tetapi lihatlah di sekeliling! Cubalah lihat perilaku yang menjadi fenomena umat Islam dan pimpinannya di seluruh dunia hari ini. Yang berkeupayaan kewangan akan menunjuk-nunjuk kekayaannya dalam bidang yang sama sekali tidak memberi manfaat kepada Islam dan umat Islam, melainkan memuaskan nafsu keegoan mereka sahaja.

Manakala yang lain, sekiranya mempunyai kuasa akan menggunakan kuasa yang ada pada mereka untuk menghukum orang dengan hukuman-hukuman kejam yang tak berperi kemanusiaan; dan yang tidak mempunyai kuasa pula akan berusaha kuat untuk mendapatkan kuasa itu bagi membolehkan mereka menghukum orang.

Dan kita bertanya apakah yang ada di sebalik minda/pemikiran hendak menghukum orang itu? Tiada lain melainkan pemikiran bahawa orang lain itu banyak melakukan kesalahan dan kemungkaran yang dimarahi Allah. Merekalah yang betul, orang lain yang salah. Merekalah yang benar, orang lain yang sesat. Hukuman adalah ke atas orang lain, bukan ke atas mereka. (Dan merekalah yang akan menghukum).

Perhatilah ceramah-ceramah agama dan tazkirah yang boleh didengar hampir di mana-mana saja sekarang. Nada suaranya saja, yang selalunya begitu meninggi dan menjerit-jerit itu, sudah menunjukkan psikologi keinginan hendak menghukum orang; dan berpendirian bahawa “aku yang benar dan betul”, orang lain yang bersalah dan perlu dihukum.

Dan kita juga bertanya: benarkah seperti yang didakwa mereka bahawa keutamaan menghukum itu adalah tuntutan Islam? Di sini kita melihat pemikiran yang terbahagi dua; satu pihak mengatakan ia tuntutan Islam, manakala satu pihak lagi mengatakan ia bukan tuntutan Islam, atau tuntutan Islam yang sebenarnya bukanlah begitu. Dan masing-masing dengan hujah, nas dan dalil masing-masing.

Saya tidak bersetuju dengan pandangan yang mengatakan bahawa minda menghukum yang terdapat di kalangan sebahagian pimpinan Islam hari ini adalah suatu tuntutan Islam.

Dalam hal ini saya bersetuju dengan hujah-hujah yang dikemukakan oleh Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin (yang viral di media sosial), yang menolak dakwaan golongan yang ghairah hendak menghukum itu, dan menghujah mengatakan pimpinan pihak berkenaan telah menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat, tempatan dan antarabangsa, terhadap Islam (kebaikannya, keindahannya, kebenarannya).

Demikianlah saya melihat persoalan Hukum Hudud kini diangkat menjadi isu besar bersama Pas dan Umno, dalam ikhtiar para pimpinan kedua parti politik itu untuk memancing sokongan umat Melayu-Islam di negara ini, menjelang Pilihan Raya Umum tak lama lagi.

Sejauh manakah pimpinan Umno akan bersetuju dan komited dengan rancangan pimpinan Pas hari ini hendak mengangkat Hukum Hudud menjadi undang-undang yang sah diiktiraf oleh Parlimen Malaysia, itu menjadi sesuatu yang menarik untuk diperhatikan.

Namun persoalan “melihat dengan minda menghukum” itu tetap menjadi persoalan besar bagi masyarakat Islam, tanpa mengira parti politik apa pun yang disokong atau tidak disokong mereka. Ia suatu penyakit psikologis yang sudah menular dalam masyarakat Islam hari ini, di Malaysia dan juga di kalangan umat Islam di dunia.

Lalu ada yang mungkin bertanya: bagaimanakah penyelesaian kepada masalah ini? Minta maaf, saya tak mungkin menjawabnya sekarang. Dan ia bukanlah satu soalan yang mudah untuk dijawab. Insya-Allah, ada waktu kita akan bincang lagi persoalan ini.

Sementara itu saya berharap kawan-kawan yang melihat saya sebagai musuh Islam akan berfikir semula. Saya bukan musuh Islam, tetapi saya musuh kepada minda yang mengelirukan dan melemahkan Islam.

TAGS