Malaysia Dateline

Melihat tuhan semasa banjir

Mitos Greek kuno ada menceritakan tentang banjir. Zeus, tuhan kuno masyarakat Greek adalah tuhan langit, hujan, awan, halalintar dan penegak keadilan.

Ia menguasai wilayah langit dan mengatur perjalanan hujan. Zeus telah menuangkan air dari langit tinggi hingga banjir besar berlaku di bumi Greek. Hujan turun tanpa henti seakan-akan langit sudah bocor menahan awan yang tebal.

Banjir itu berlaku selama sembilan hari sembilan malam. Kadar hujan yang tinggi itu dicatat sebagai satu angka yang di luar jangkaan orang biasa dan juga para pujangga.

Banjir itu adalah amaran kebejatan masyarakat yang menjauhi ajaran Zeus. Sejarah banjir besar Greek dikenali sebagai Deucalion mengambil sempena nama orang yang selamat dalam banjir itu.

Deucalion dan isterinya yang bernama Pirrha selamat kerana mempunyai perahu dan menyiapkan perbekalan bagi menghadapi musibah tersebut. Orang ramai lari ke pergunungan mengelakkan amarah air banjir yang menenggelamkan setiap inci bumi Greek.

Habislah ladang gandum dan binatang ternakan kelemasan. Air deras menghanyutkan rumah-rumah rakyat miskin di tepi sungai dan pinggir kota. Menara dan istana-istana pembesar turut tenggelam. Air pusar bagai membelit setiap yang melintasinya.

Walau bagaimanapun, pada saat banjir mengamuk, tuhan Neptune meminjamkan tangannya untuk mengalirkan air limpahan ke dalam saliran-saliran yang dibinanya. Banyak juga yang dapat diselamatkan dengan kerajinan tuhan Neptune menyelamatkan harta benda dan jiwa raga orang Greek.

Deucalion menyediakan persiapan kerana telah diperingatkan awal akan bencana alam itu oleh bapanya. Akhirnya perahu Deucalion sampai ke puncak Gunung Parnassos dan mereka memberikan persembahan pada tuhan Zeus kerana telah selamat daripada amarah Zeus, bapa tuhan dan manusia.

Zeus, tuhan berada di tempat yang tinggi. Menghampiri Zeus, bermakna akan selamat. Pergunungan Thessaly menjadi tempat penempatan baru masyarakat Greek.

Orang Greek percaya kepada tuhan yang banyak walaupun pada asalnya asas kepercayaan mereka pada tuhan yang tunggal. Orang Yunani menghukum Socrates sebagai penyebar ajaran salah dan dihukum mati oleh mahkamah Greek. Socrates mengajak orang Greek kembali percaya kepada kewujudan Tuhan yang tunggal.

Tafsiran tentang ketuhanan dan bidaah yang diwujudkan oleh pendita-pendita Greek telah menyesatkan masyarakat Greek.

Pada orang yang mempunyai jalur pemikiran seperti Deucalion, mereka percaya bahawa alam adalah bahasa tuhan bagi menyampaikan maksud kepada manusia.

Oleh kerana itu, tiada pilihan melainkan manusia mesti menerima bahasa alam ini sebagai satu ketentuan atau takdir. Saat itu, rasionaliti tidak berada pada tempat yang sewajarnya dalam menentukan sebab dan akibat sesuatu kejadian.

Sama ada banjir di Kedah, Johor, Kelantan atau tanah runtuh di Cameron Highland atau tsunami di Acheh adalah juga bahasa alam kepada manusia. Maka, sekonyong-konyong datanglah seorang anak muda dengan janggut secubit di dagu berdiri di hadapan khalayak mangsa banjir.

Banjir dan bencana alam ini adalah ketentuan dan takdir Allah s.w.t. Tuhan Yang Maha Kuasa, katanya. Bencana ini mengajak untuk umat manusia menginsafi tentang kekerdilan sebagai manusia dan mengingati dosa-dosa lampau yang barangkali belum terampun.

Inilah waktu untuk diri kita menghampiri Allah s.w.t. agar diberikan kesabaran dan ditingkatkan iman. Tiada siapapun membantah peringatan yang diberikan oleh anak muda itu. Lalu anak muda itu mengajak kami duduk bersimpuh menghadap kiblat seraya berdoa nan panjang. Merekapun mengaminkan dengan pasrah, tanpa banyak soal.

Hujan adalah milik Tuhan. Bumi dan manusia juga adalah milik Tuhan. Manusia itu juga adalah khalifah fil ardhi, mentadbir alam ini dengan kebijaksanaan dan ilmu yang dikurniakanNya.

Secara prinsipnya, manusia beriman mesti menjadikan keimanan pada Allah s.w.t. sebagai pencipta dan Tuhan Yang Maha Berkuasa. Walau bagaimanapun, manusia juga diberikan kekuataan dalam menentukan kehidupan mereka sendiri.

Banjir adalah bahasa alam. Ia tidak berlaku secara ‘kun fa ya kun’. Aturan fitrah alam ini boleh dikaji dan boleh difahami. Hujan lebat memang adalah faktor berlaku banjir yang besar.

Sama seperti air pasang besar juga boleh menyebabkan hal yang sama. Secara kasarnya, hujan dan air pasang surut dianggap sebagai ditentukan oleh kuasa Tuhan. Perlu diperhalusi lebih lanjut lagi proses siklus hidrologi yang merupakan tahapan sebelum pembentukan awan dan kemudian hujan berlaku.

Tidak perlu untuk kembali membuka nota lama universiti semasa aku belajar geografi dengan Prof. Dr. Hamirthin Ithnin, pakar hidrologi negara kita. Sebarang proses mengubah landskap asal bumi seperti pembalakan, perlombongan, pembukaan hutan, pertanian, penempatan dan sebagainya pasti menyumbangkan kadar hujan.

Menafikan aktiviti kemanusiaan sebagai salah satu faktor hujan adalah suatu yang naif. Ini tidak bermakna kita menafikan kuasa Allah s.w.t. Yang Maha Berkuasa. Setiap aturanNya berlaku berhukumkan korelasi sebab dan akibat. Tangan-tangan manusia berkuasa juga berperanan mengakibatkan hujan lebat yang menghasilkan banjir besar berlaku.

Tahan-tangan manusia yang berkuasa juga adalah punca banjir berlaku. Manusia yang melanggar peraturan dan undang-undang negara dan hukum alam antara penyebabnya. Kita seharusnya belajar daripada sejarah dan pengalaman silam yang menuntut persiapan sebarang kemungkinan berlaku.

Musim hujan di negara kita sudah diramalkan berlaku pada setiap penghujung tahun. Oleh itu, perlu adalah langkah-langkah persediaan yang menyeluruh. Begitu juga sistem perparitan, pengurusan sungai dan kawasan tadahan hujan sangat penting.

Banjir yang berlaku, secara akidahnya disebabkan tangan Tuhan Yang Maha Berkuasa tetapi secara praktikalnya, tangan-tangan manusia yang berkuasa juga memainkan peranan sama. Kita adalah manusia yang ada keinginan, kehendak, kebebasan dalam lingkungan kuasa Tuhan.

Ya Allah, pandanglah kami.