Malaysia Dateline

Melompat ke lombong sedalam 25 meter – Puchong pernah rekod nahas kapal korek

Mangsa yang terselamat terpaksa melompat ke dalam lombong sedalam 25 meter sebelum berenang merapati tebing.

Itu keadaan tragedi membabitkan kapal korek yang pernah berlaku di Batu 13 Puchong dengan tujuh nyawa terkorban.

Ikuti tulisan MatGeo berhubung nahas yang berlaku 38 tahun lalu ini:

Kapal korek merupakan jentera terbesar pernah beroperasi di negara kita satu masa dahulu. Bunyinya semasa beroperasi menakutkan anak-anak yang tinggal di kampung-kampung berhampiran.

Namun, tak lepas dari tragedi, pada 8 Ogos 1984, salah satu kapal korek milik Sungai Klang Dredging Sdn Bhd telah terbalik di sebuah lombong yang terletak di Batu 13 Puchong dan meragut tujuh nyawa.

Tiga puluh orang sedang berada di kapal korek berkenaan ketika kejadian. Tujuh mangsa yang terperangkap dalam kapal korek malang tersebut melibatkan empat orang pekerja biasa, dua orang jurutera dan seorang lagi adalah pemilik kapal dan syarikat berkenaan, Michael Tang.

Salah seorang jurutera terbabit ialah Norjohan Salleh, bapa kepada selebriti Jimmy Shanley.

Beberapa pekerja berjaya menyelamatkan diri dengan melompat ke dalam lombong sedalam 25 meter itu dan berenang ke tebing.

Kejadian ngeri itu berlaku ketika anak-anak kapal dan jurutera sedang menjalankan proses pembaikan bagi memperbaiki salah satu dari pontun di sebelah kiri yang bocor.

Malangnya kebocoran menjadi semakin serius dan mula tidak terkawal. Menambah malang, salah satu dari pam pula tiba-tiba gagal berfungsi.

Keadaan yang sudah tidak terkawal itu menyebabkan air dengan pantas masuk ke dalam badan kapal dari sebelah sisi kiri mengakibatkan kapal korek itu semakin menyenget hingga rantai yang menambatnya ke tebing terlerai.

Dengan sekelip mata kapal korek tersebut terbalik sepenuhnya hingga bahagian bawahnya timbul dengan sedikit menyenget dipermukaan air.

Akibat kedalaman lombong selain struktur dalaman kapal korek yang agak kompleks ditambah dengan kurangnya kepakaran pada ketika itu kerana ia adalah kejadian pertama seumpamanya, usaha menyelamat mengambil masa berhari-hari lamanya hingga mengundang rasa kurang senang ahli keluarga mangsa.

Baki tiga mangsa yang terperangkap hanya berjaya dikeluarkan selepas lombong berkenaan berjaya disurutkan menggunakan mesin pam milik Jabatan Pengairan dan Saliran beberapa hari kemudian.

Paparan diberi lampu hijau oleh Jimmy, diolah dari Malay Wiki dan imej dari video agensi berita Reuters.

Baca juga Mampu hantar wang simpanan RM800,000: ‘Ada yang tak kena kalau gaji dia lebih RM5,000 sebulan’

Baca juga Janji nak lari bogel kalau Anwar jadi PM, aktivis sosial media kini diburu orang ramai