Malaysia Dateline

Meluap marah #RakyatJagaRakyat lawan #KerajaanBangsat

Rasa tidak puas hati rakyat terhadap kerajaan pimpinan Ismail Sabri terutama dalam kalangan pengguna Twitter dilihat meluap-luap.

Tanda pagar #RakyatJagaRakyat sohor kini di media sosial itu ‘bersaing’ dengan #KerajaanBangsat.

Dalam masa sama, #DaruratBanjir kekal menjadi buah mulut warganet sejak awal bencana banjir melanda negara, 18 Disember lalu.

Setakat jam 7 petang tadi, hampir 20,000 ciapan menggunakan tanda pagar #RakyatJagaRakyat manakala #KerajaanBangsat pula mencecah lebih 8,000 ciapan.

Khabar duka apabila bilangan mangsa banjir terkorban yang terus meningkat juga menjadi topik warganet yang menggunakan #KerajaanBangsat.

“Kerajaan harus bertanggungjawab atas ketidakcekapannya. Orang meninggal dunia kerana lambat bertindak.

“Tetapi di Malaysia, undang-undang dibuat hanya untuk rakyat biasa, jadi hukuman yang boleh kita fikirkan hanyalah di akhirat.

“Sedih #KerajaanBangsat,” kata pengguna Twitter, @qlznl sebentar tadi.

Sejak bencana banjir yang menjejaskan ribuan penduduk Selangor terutama di Hulu Langat, Shah Alam dan Sepang, orang ramai dilihat memerhati ‘tajam’ pergerakan menteri dan wakil rakyat.

Terbaharu, kehadiran Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri dalam Majlis Ramah Mesra Alumni Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) yang turut diisi dengan tari-menari rancak di Eastin Hotel Kuala Lumpur.

Sebelum ini, gaya Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berkasut tumit tinggi ketika melawat pusat pemindahan mangsa banjir mengundang kecaman warganet.

Tidak cukup dengan itu, Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa tersebut dikritik susulan majlis sumbangan banjir Keluarga Malaysia di sebuah hotel.