Malaysia Dateline

Memacu Malaysia sebagai kuasa baharu ekonomi Asia

Nak rehat kejap daripada ulas isu politik dan undang-undang. Nak ulas sikit tentang ekonomi memandangkan ekonomi adalah cinta ketiga saya selepas politik dan undang-undang.

Sebenarnya saya minat ekonomi dulu sebelum politik dan undang-undang tapi sebab keputusan SPM sesuai untuk ambil kursus undang-undang, jadi saya ambil dulu dengan harapan untuk tukar kursus ekonomi tapi cinta pada undang-undang sudah semakin menebal, apa nak buat. Teruskan sahaja hingga sekarang.

Jadi untuk kekalkan rasa sayang pada ekonomi, maka kursus sarjana (masters) saya selepas itu adalah dalam undang-undang perbankan (walaupun tidak sangat juga ekonomi).

Malaysia kalau ikut kajian yang dibuat dalam 10 bulan yang lalu adalah diletakkan sebagai lima kuasa baharu ekonomi Asia selepas India, Indonesia, Vietnam dan Filipina.

Malaysia juga dikatakan negara keempat (sebelum ini ketiga) ekonomi terbesar Asia Tenggara.

Pemangkin utama ekonomi Malaysia adalah pembuatan dan perkhidmatan selain daripada pertanian, pelancongan dan komoditi (petroleum, kelapa sawit dan getah).

Kedudukan strategik Malaysia yang terletak antara Thailand dan Singapura juga sesuai menjadikan Malaysia sebagai hub ekonomi serantau.

Tetapi masalahnya adalah Malaysia masih tidak mampu bergerak daripada negara berpendapatan sederhana kepada berpendapatan tinggi sejak sekian lama walaupun pernah menikmati satu tempoh kemakmuran ekonomi yang agak lama.

Saya masih percaya bahawa fundamental ekonomi Malaysia masih kekal kukuh walaupun kita diserang oleh pandemik terburuk abad ke-21 ini. Tetapi saya ingin mengusulkan perkara-perkara berikut:

Peruntukan belanjawan harus ditingkatkan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) terutama sekali dalam sektor kerajaan kerana ini merupakan antara bidang yang terpenting sebagai pemangkin kepada pemacuan ekonomi dan ini juga telah kerap kali ditekankan oleh Akademi Sains Malaysia.

Tumpuan juga harus diberikan kepada melahirkan modal insan yang lebih terlatih melalui institusi pendidikan sedari daripada sekolah sehingga IPT. Ini adalah fokus Korea Selatan sewaktu membangunkan kembali negara mereka selepas hancur dek Perang Korea 1950.

Elakkan “brain drain” daripada terus berlaku dan panggil semula diaspora Malaysia di luar negara untuk pulang dan menyumbang kembali kepada negara. Ini juga dilaksanakan semula oleh Turki sejak perubahan kerajaan pada 2002.

Penstrukturan semula industri identikal negara termasuk Petronas, Felda, Tabung Haji, Proton, Perodua dan MAS selain daripada mewujudkan industri identikal negara yang baru. Panggil semula kapten industri tempatan untuk kembali menerajui industri tersebut dan tidak perlu bergantung kepada tenaga asing. Model Norway, Sweden dan Jepun boleh dikaji.

Peluasan pelaksanaan konsep wakaf terutama sekali dalam perkara melibatkan pembangunan infrastruktur fizikal. Sebelum itu, undang-undang berkenaan wakaf juga sewajarnya dikembangkan sebagai suatu akta yang khusus. Mesir juga boleh dijadikan contoh kes.

Institusi koperasi juga boleh diperkasakan sebagai antara penyumbang besar kepada ekonomi negara sepertimana Mondragon Corporation yang difahamkan adalah penyumbang ketiga terbesar kepada ekonomi Sepanyol.

Setakat ini dulu untuk kali ini. Ini bukan pandangan ahli ekonomi tetapi peguam yang minat tentang ekonomi.

Apapun dengan kerencaman (diversity) pelbagai sudut yang diwarisi oleh negara, saya amat berkeyakinan bahawa ekonomi Malaysia mampu untuk bangkit kembali.

Sebab itulah penganalisis menyebutkan bahawa walaupun masih terperangkap dengan kemelut perangkap pendapatan, tetapi Malaysia masih mampu untuk membuat beberapa pencapaian yang penting dalam aspek kemajuan ekonomi.

Malaysia, kuasa baru ekonomi Asia.

*WAN ANWAR WAN IBRAHIM merupakan peguam yang minat ekonomi.