Memahami cabaran besar Menteri Agama

Memahami cabaran besar Menteri Agama

Dr Mujahid Yusof Rawa bergambar bersama sebahagian mahasiswa pada sesi Dialog Menteri Rahmatan Lil A’lamin Di Malaysia di Auditorium Kompleks Perdana Siswa, Universiti Malaya 10 Oktober lalu.

Menteri yang menjaga agama kini berdepan pelbagai isu yang memberi tekanan kepada portfolio beliau malah kerajaan sendiri.

Pada beliau kenyataan yang diutarakannya tempoh hari berkaitan dengan operasi jabatan-jabatan agama terhadap apa yang dilihat sebagai pelaku maksiat adalah adil dan menggambarkan situasi sebenar.

Dan pada masa ini kerajaan pula sedang mempromosikan agama dalam konteks yang luas sebagai satu rahmat bagi sekalian manusia dan alam.

Memang beliau dan gerakan yang mendukung arus ini patut diberi sokongan tetapi kita perlu maklum pendekatan ini adalah sangat baru dalam kalangan umat Islam di Malaysia.

Saya boleh katakan dengan penuh keyakinan bahawa Islam yang difahami dan diamali oleh majoriti umat Islam Malaysia ialah yang berbentuk tradisional-konservatif di mana konsep rahmah belum lagi menjadi faktor utama dalam menentukan hubungan sesama Muslim apatah lagi dengan non-Muslim. Malah konsep ini mungkin tidak menjadi asas dalam pemahaman tentang agama .

Pemahaman secara konservatif dan tradisional yg terus subur dalam masyarakat dibina oleh angkatan individu yang dikira sebagai mahir dalam selok-belok agama di mana pengertian agama itu sudah tentu dalam kerangka konservatif-tradisional.

Angkatan mahir dalam selok belok agama juga secara longgar dipanggil ustaz (asatizah), sudah sejak sekian lama membina naratif agama yang agak sempit.

Kebanyakan kuliah dan syarahan yang mereka berikan lebih tertumpu kepada satu dimensi sahaja iaitu dimensi individu atau hamba dengan Tuhannya dalam konteks perbaiki amalan-amalan peribadi ketika menghadap Tuhan Yang Maha Esa.

Justeru, perbicaraan yang timbul adalah dalam lingkungan persoalan-persoalan tentang solat, puasa, haji dan bagaimana meningkatkan keimanan seseorang dengan tidak atau jarang sekali menyentuh perkara di luar persoalan-persoalan tersebut kerana mungkin dianggap itu semua berada di luar skop agama.

Dalam keadaan seperti ini muncul pula seorang intelektual Muslim sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam hal-hal agama dengan kenyataan-kenyataannya yang tidak pernah diutarakan sebelumnya.

Kenyataan-kenyataan yang mendesak individu Muslim untuk melihat semula skop besar agama di mana rahmah menjadi matlamat amalan agama. Dan kerana rahmah itulah Islam sendiri berpotensi besar untuk berkembang dalam situasi dan persekitaran abad ke-21 ini.

Apa yang hendak dicapai dalam dasar baru atau pendekatan baru kerajaan baru sekarang ialah mempamerkan Islam dalam realiti masyarakat berbilang etnik di Malaysia sebagai agama yang amat serasi dengan kemajuan fizikal dan dalam amalannya akan membawa rahmah kepada semua rakyat Malaysia.

Usaha yang hendak dilakukan ini adalah sangat murni tetapi menghadapi mental block (tembok dalam minda) yang sukar untuk dihilangkan.

Seperti yang dikatakan tadi, saban hari angkatan golongan yang mahir dalam agama memperkukuhkan lagi naratif konservatif-ortodoks yang akhirnya menyukarkan idea tentang rahmat bagi sekalian alam sampai kepada seramai mungkin individu Muslim.

Memang bukan senang untuk menangani masalah ini keran apa yang hendak dibawa sekarang terpaksa berhadapan dengan korpus ilmu agama yang telah dibawa sejak ratusan tahun dahulu.

Fenomena ini bukan sahaja berlaku di Malaysia malah di seluruh dunia Islam. Di mana sahaja, rasanya, aliran konservatif-ortodoks yang mendominasi umat Islam.

Buktinya? Lihat sahaja kepada keadaan umat Islam di mana sahaja.

Wujudkah walau sebuah negara Muslim sekalipun yang boleh menandingi kemajuan dankesejahteraan yang dicapai oleh 10 negara teratas dalam senarai negara berkemajuan tinggi dan mempunyai indeks pembangunan sosial terbaik dalam kalangan negara di dunia?

Wujudkah keadaan seperti di negara-negara Scandinavia, New Zealand dan Jepun misalnya? Tidak ada.

Sedangkan jika umat Islam dibimbing ke jalan ilmu yang sepatutnya mereka seharusnya boleh mencapai tahap kemajuan ekonomi-sosial seperti negara-negara tersebut malah lebih hebat lagi kerana mengamalkan nilai-nilai besar Islam dalam kehidupan.

Malang sekali mereka dipimpin golongan yang hanya melihat agama daripada sudut pandang satu dimensi yang disebutkan tadi.

Bagi saya, Islam tidak datang kepada manusia untuk menjadikan mereka mundur dan merempat sepertimana terjadi di kebanyakan negara umat Islam. Ini seperti yang disaksikan dalam arus migrasi penduduk dari Afrika Utara dan Timur Tengah yang mencari kehidupan baru yang bermakna di Eropah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Apakah sebagai Muslim mereka tidak boleh menguruskan negara mereka sendiri untuk menjadikannya maju serba serbi dan memberikan kesejahteraan kepada seluruh penduduk?

Jawapan ringkas ialah, dalam keadaan sekarang ini hanya menjadi utopia. Dan punca utamanya ialah angkatan cerdik pandai dalam selok-belok agama yang tidak menguasai ilmu dalam ertikata yang luas terus menguasai pemikiran tentang agama dalam kalangan Muslim.

Bahkan kalangan profesional dan intelektual yang mendampingi golongan ini turut menjadi tukang penyebar fahaman agama yang sempit dan satu-dimensi itu.

Berlatarbelakangkan situasi ini, kalangan cerdik pandai yang berpegang dengan fahaman agama dalam ertikata luas iaitu lebih daripada satu dimensi sudah tentu berhadapan cabaran cukup besar untuk membawa gagasan rahmat bagi sekalian alam ke dalam masyarakat kita.

Pertembungan pemikiran konservatif-ortodoks dengan progresif-rahmah pada ketika ini tidak memungkinkan aliran progresif-rahmah menguasai keadaan. Masih ramai umat Islam meyakini Islam satu dimensi sebagai makna agama yang sebenar.

Dalam kerangka ini, tembok pemisah dibina untuk menjelaskan siapa Muslim dan siapa tidak Muslim dengan menggunakan acuan konservatif-ortodoks yang cukup berpengaruh.

Justeru, apa sahaja yang disebut atau diucapkan menteri agama akan dilihat sebagai menyalahi agama sama seperti komen balas seorang ustaz yang mendesak
menteri agama meletakkan jawatan kerana kononya menteri tidak kisah dengan berleluasanya maksiat dalam masyarakat.

Apakah yang perlu dilakukan kerajaan baru yang menjadikan Islam sebagai rahmat sekalian alam sebagai dasar praktis Islam dalam negara?

Mereka yang bertanggungjawab semestinya berdepan pendukung pemikiran konservatif-ortodoks dan mendedahkan segala kekurangan dan kepincangan yang golongan ini timbulkan sementara memimpin umat ke arah menjadikan mereka sebagai umat yang maju yang menguasai bukan sahaja aspek fizikal pembangunan tetapi mempunyai ilmu yang luas yang menjadi terjemahan kepada erti Islam yang sebenar agar kemajuan itu terus lestari.

 

* Penulis ialah bekas Profesor Madya Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuala Lumpur.