Memahami erti kebebasan terhad

Memahami erti kebebasan terhad

Tajuk muka depan tabloid Mingguan Malaysia, 14 Oktober 2018, “Anwar Menang Besar”, bukanlah suatu daya tarik untuk saya membelinya, selepas beberapa tahun tidak melanggan akhbar milik Umno itu.

Selepas mencicip kopi panas pahit beraroma ketika menemani isteri di sebuah pasaraya besar pada awal pagi hujung minggu itu, tiba-tiba terlintas di fikiran untuk “membaca” gerak akhbar-akhbar harian pasca tumbangnya Umno-BN dalam PRU14.

Ya, saya terlewat, terpaksa menunggu, melewati 150 hari selepas rejim lama dikalahkan. Ada rakan-rakan memberitahu terdapat perbedaan dalam gaya pemberitaan akhbar-akhbar utama. Mungkin untuk menyesuaikan diri dengan iklim dan hawa politik baharu, yang lebih segar dan melegakan, atau mencari pelanggan baharu.

Berita kemenangan besar Anwar Ibrahim dalam pilihan raya kecil Port Dickson, Sabtu 13 Oktober sudah dijangka semua pihak. Ia bagi memudahkan laluan buat bakal perdana menteri kelapan itu ke Seri Perdana. Justeru, semua media memberi fokus, termasuk yang masih berkiblat kepada Umno.

Saya membelek lembaran Mingguan Malaysia, untuk membaca tajuk utama setiap halaman, dengan mata yang penat. Cermin mata rabun dekat tidak banyak membantu disebabkan pendarahan retinopati diabetik belum reda.

Mencari sudut terpencil, beralaskan bangku kayu tanpa penyandar belakang, tapi masih sibuk dengan pengunjung yang mundar-mandir, saya cuba mengesan kelainan; apakah Malaysia Baharu berupaya memberi tekanan positif kepada dunia kewartawanan kita?

Kebebasan akhbar adalah tiang seri kepada amalan demokrasi yang matang telah diperkosa sekian lama. Perubahan rejim tidak membawa makna jika media terus dikongkong dan suara rakyat dibenamkan oleh autoriti.

Utusan umpama organ Umno, bagai Harakah kepada Pas meskipun tidak berstatus lidah rasmi. Ketua pengarangnya perlu dapat pesetujuan Majlis Tertinggi Umno. Ia juga mendapat sokongan kewangan termasuk suntikan projek kerajaan untuknya terus survive.

Namun, ia tidak menghalang saya untuk terus melanggan edisi mingguannya. Saya suka slot wawancara dengan pelbagai personaliti. Olahan sesi interbiu itu menarik terutama jika wartawannya, Noor Azam Shairi dan Zin Mahmud.

Pojok Awang Selamat juga ada nilai komentar tersendiri. Saya turut mengkagumi bekas pengarang di era kemuncak Utusan, Said Zahari. Almarhum, pernah dikurung 17 tahun tanpa bicara di Singapura, seorang lagenda, masyhur dek kegigihannya memperjuangkan kebebasan akhbar.

Pertama kali saya menghadiri program Said, di Cheras, sekitar awal 1990-an. Malangnya dia tidak dapat hadir. Wakil dari Berita Harian Singapura yang membaca kertas kerjanya telah membunuh semangat berkobar-kobar Said. Saya jadi marah sendiri.

Selepas itu, sehingga Said meninggal pada usia 88 tahun, April 2016, rasanya berbelas kali saya bertamu di rumahnya, Subang Jaya. Saya mendengar khabar duka itu di kerusi dialisis.

Biarpun dalam keadaan uzurnya, kami selesa berbual. Dia tidak lokek berkongsi kisah. Ingatannya kuat. Banyak pesan kewartawanannya saya genggam. Inspirasi yang mendamaikan waktu saya bertarung dengan karenah KDN yang merimaskan itu.

Saya membaca akhbar cetak bukan untuk mengetahui berita terkini, tetapi menekuni sudut pandang kolumnisnya. Pagi Ahad itu, saya nampak ada tulisan Dr Shamsul Amri Baharuddin bertajuk “Apa erti kemenangan Anwar?” dan wawancara dua halaman bersama Dr Jomo KS, “Politik wang punca rakus”.

Dua tokoh akademik ini selalunya berupaya mengungkapkan dengan baik konflik dalam masyarakat. Jomo sering saya rujuk pada 1990-an dan kerap mengutip ideanya dalam banyak sesi wawancara di bilik sempitnya di Universiti Malaya.

Segera terkenang kolumnis paling diminati, Allahyarham Rustam A Sani, pernah mempunyai ruangan tetap dalam majalah kelolaan saya, Detik, yang hanya bertahan genap setahun sebelum diharamkan.

Sepintas membelek tajuk-tajuk utama Mingguan Malaysia itu, saya gagal mengesan perubahan. Saya melipat tabloid itu, bersama Sunday Star, ke bawah peha.

Berpindah kepada mingguan bahasa Inggeris, dengan paparan sosok Anwar yang lebih besar, sambil berpeluk-tubuh. Tajuk utamanya, “Route clear for PM-in-waiting”.

Mata saya makin penat. Bersilau. Hampir tidak terbaca teksnya yang kecil. Helaian kertas akhbar seperti gagal menampilkan imej kontras pada abjadnya. Saya terpaksa mengaku kalah. Mungkin boleh membacanya di rumah nanti melalui gajet, versi online.

The Star memang mempunyai reputasi baik khusus sebelum permitnya digantung pada hujung 1987, ekoran Operasi Lalang yang bersejarah itu. Pada bulan Ogos 2018, seorang sarjana media antarabangsa memberitahu saya, dia kini membaca The Star, “nampak ada pembaharuan yang menyenangkan”.

Malang sekali, saya tidak dapat menilainya. Bagaimanapun, portal berita The Star tetap menjadi rujukan harian, selain Malaysiakini, FMT, Malaysian Insight dan Malaysiadateline.

Menjelang PRU14, Pengerusi PH, Dr Mahathir Mohamad berjanji akan memansuhkan beberapa akta yang mengongkong kebebasan akhbar, antaranya Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.

Pada 14 Mac 2018, melalui siaran langsung FB Live, Dr Mahathir juga berjanji akan memastikan media arus perdana bebas daripada kawalan parti politik.

“TV3, Utusan Malaysia, Berita Harian, New Straits Times dan media lain dibebaskan daripada cengkaman mana-mana parti politik. Tiada lagi undang-undang menyekat kebebasan bersuara. Ini antara tindakan yang akan diambil PH apabila dapat menjadi kerajaan,” katanya.

Tidak sampai seminggu selepas menang PRU14, dalam pertemuan dengan pengamal media PH, beliau berkata, kemungkinan proses penerbitan tidak lagi memerlukan syarat pemilikan permit.

Selama ini KDN mengawal mutlak kelulusan permohonan permit penerbitan. Ia berhak meluluskan dan menolak permohonan tanpa perlu memberi alasan. Juga berhak menggantung dan membatalkan permit, tanpa sebarang alasan.
Keputusan KDN itu, tidak boleh dicabar di mahkamah, kecuali selepas pindaan terakhir akta; itu pun prosesnya disifatkan begitu renyah dan memakan masa sehingga dianggap tidak praktikal.

Pengalaman saya berdepan Kementerian Dalam Negeri boleh dianggap penuh warna-warni tetapi kebanyakannya hitam-putih yang suram. Tegang, tanpa toleransi, tiada argumen, hanya menanti hukuman, soal-jawab dibenamkan.

Memang tiada kebebasan akhbar pada Malaysia Lama, apatah lagi zaman gelap Mahathir, 1987 hingga tahun 2000. Mahathir bermula positif dengan mood pembebasan pada 1981, termasuk membebaskan ramai tahanan ISA dari Kamunting, seperti Kasim Ahmad. Menerima Anwar ke dalam Umno, pengkritik utama kerajaan, bagai putera mahkota.

Namun, krisis dan cabaran politik membuatkan Mahathir berubah menjadi keras dan bersikap kuku-besi.
Sebenarnya, semasa menuntut di kampus Universiti Teknologi Malaysia, Jalan Gurney ketika itu, saya mula memahami erti kebebasan terhad.

Sekitar 1984-85, pada tahun keempat pengajian kejuruteraan awam, saya dipilih anggota Majlis Perwakilan Pelajar UTM dan dilantik Exco Akhbar dan Penerbitan.

Saya menjadi ketua pengarang Nada Kampus, majalah rasmi persatuan. Semua bahan yang siap ditaip sebelum dicetak secara stensil perlu mendapat kebenaran pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP).

Saya harus menghadap seorang pegawai bertaraf penolong pendaftar yang akan memeriksa baris ke baris, mengesan pantang larang yang mungkin dilanggar. Dia membacanya dengan tekun.

Jika ada kesalahan, saya perlu betulkan dan hantar semula untuk semakan. Selalu juga kami bertengkar; saya cuba pertahan sedaya mungkin kewajaran tulisan itu diluluskan.

Pegawai HEP bimbang nanti dia dipersalahkan pihak atas. Mentaliti lazim seorang pegawai kerajaan “yang menurut perintah”. Bagi saya, masa cukup terbazir melayan karenah peraturan yang mematikan kebebasan menulis itu. Mungkin pengendalian majalah sekolah lebih mudah lagi!

Pernah di hujung sesi 1984/85 itu, kecoh isu pengharaman purdah di kalangan mahasiswi. Peraturan berpakaian dikeluarkan, yang melarang pelajar “menutup muka”. Sesiapa yang engkar boleh dipecat atau dibuang univerisiti.

Saya cuba membantah peraturan karut-marut dan kejam itu. Sebahagian besar pelajar terbabit berada di tahun akhir pengajian. Selangkah lagi untuk merangkul ijazah atau diploma. Mereka mendapat surat amaran dan diingat supaya bersedia menerima hukuman.

Menyedari larangan keras untuk membuat kenyataan akhbar, saya memilih pendekatan menulis surat bantahan kepada seluruh pegawai kanan universiti serta dekan fakulti dan membuat banyak salinan untuk diedarkan.

Surat itu dicetak ratusan kopi dan pada hemat saya, tidak perlu mendapat kelulusan HEP. Ini kerana ia hanya sepucuk surat walaupun kandungannya cukup panjang. Bukan kenyataan akhbar.

Dalam diam, kakitangan yang bertanggungjawab mencetak surat saya itu, “uncle India” separuh abad, dimarahi pegawai atasannya. Sementara pihak HEP telah merujuk surat protes saya itu kepada penasihat undang-undang universiti.

Suatu petang, selepas solat Asar, saya dipanggil Timbalan Naib Canselor HEP. Sebenarnya kami agak kerap berbincang atas isu-isu kampus, termasuk debat mengenai gerakan Islam.

Beliau menunjukkan surat penasihat undang-undang yang mencadangkan bahawa saya bukan hanya boleh diambil tindakan di bawah Akta Universiti tetapi juga didakwa di bawah akta-akta lain, seperti Akta Hasutan, ditahan ISA dan pelbagai undang-undang lagi.

Rupanya menulis surat bantahan pun merupakan satu kesalahan besar. Saya terpaksa menarik balik surat tersebut. Bagaimanapun edaran telah dibuat dan mesej protes telah sampai.

Bersambung…

*Artikel ini merupakan sebahagian daripada bab bertajuk “Lorong Sunyi-Gelap Media Bebas Bertukar
Ceria-Meriah” yang dipetik daripada buku Revolusi Tanpa Darah, Februari 2019.

Bagi yang berminat, sila hubungi Luqman Hakim 0192903291.