Malaysia Dateline

Memahami kedudukan Islam dalam Perlembagaan

Islam adalah agama bagi Persekutuan Malaysia. Ini dinyatakan dengan jelas dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan. Peruntukan yang sama juga menyatakan bahawa agama lain bebas diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana tempat di Malaysia. Apakah yang dimaksudkan dengan Islam sebagai agama Persekutuan tidak dijelaskan dalam Perkara 3(1) tersebut.

Tambahan lagi, perkataan ‘Islam’ itu sendiri tidak diberikan sebarang definisi dalam Perlembagaan. Ini sudah mendatangkan kerumitan kerana Islam adalah suatu terma yang spesifik dan ketiadaan definisi Islam akan mengundang pelbagai tafsiran yang tersendiri oleh para Hakim di Mahkamah.

Menurut pemahaman biasa sekiranya dikatakan “Islam adalah agama saya”, maka orang itu hendaklah menerima dan menganuti kesemua rukun Islam dan rukun Iman. Ini bermakna orang itu hendaklah percaya kepada kewujudan Allah, malaikat, nabi dan rasul, kitab, hari kiamat, qadha dan qadar. Orang itu juga perlu mengucap dua kalimah syahadah, bersolat, berzakat, berpuasa dan menunaikan haji. Namun, kesemua ritual ini tidak dapat dilakukan oleh Persekutuan kerana Persekutuan Malaysia bukanlah satu makhluk yang cukup umur dan mukallaf.

Justeru, apakah yang dikatakan bahawa Islam itu agama Persekutuan? Almarhum Abul A’la Al-Mawdudi dalam bukunya “Towards Understanding Islam, (1960)“ menyatakan bahawa Islam itu adalah suatu perkataan Arab yang bermaksud penyerahan diri dan ketaatan yang penuh dan sempurna kepada Allah (“Islam is an Arabic word and connotes submission, surrender and obedience. As a religion, Islam stands for complete submission and obedience to Allah.”).

Adakah takrifan yang diberikan oleh Al-Mawdudi ini sesuai untuk dimasukkan dalam pentafsiran kepada Perkara 3(1) Perlembagaan? Agak sukar untuk menggunakan tafsiran Al-Mawdudi ini kerana Persekutuan bukanlah boleh dipersembahkan suatu penyerahan diri dan ketaatan kepada Allah swt.

Oleh itu, cara yang paling tepat adalah dengan melihat sendiri peruntukan lain dalam Perlembagaan yang menyebut berkaitan Islam ini supaya kefahaman yang benar dapat dicapai.

Antara peruntukan yang berkaitan adalah seperti berikut:

Perkara 3(1) – Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.

Perkara 11(1) – Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya.

Perkara 11(4) – Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.

Perkara 12(2) – Tiap-tiap kumpulan agama berhak menubuhkan dan menyenggarakan institusi-institusi bagi pendidikan kanak-kanak dalam agama kumpulan itu sendiri, dan tidak boleh ada diskriminasi semata-mata atas alasan agama dalam mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan institusi-institusi itu atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang itu; tetapi adalah sah bagi Persekutuan atau sesuatu Negeri menubuhkan atau menyenggarakan atau membantu dalam menubuhkan atau menyenggarakan institusi-institusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran dalam agama Islam dan melakukan apa-apa perbelanjaan sebagaimana yang perlu bagi maksud itu.

Perkara 150 (6A) – Fasal (5) tidak boleh memperluas kuasa Parlimen mengenai apa-apa perkara hukum Syarak atau adat Melayu atau mengenai apa-apa perkara undang-undang atau adat anak negeri di Negeri Sabah atau Sarawak; dan juga Fasal (6) tidak boleh menjadikan sah mana-mana peruntukan yang tidak selaras dengan peruntukan Perlembagaan ini yang berhubungan dengan apa-apa perkara sedemikian atau berhubungan dengan agama, kewarganegaraan, atau bahasa.

Berdasarkan peruntukan Perlembagaan yang dinyatakan di atas bahawa Islam dalam Perlembagaan itu adalah berlainan dengan kefahaman Islam sebagai agama diri seseorang. Dalam Perlembagaan, Islam yang dimaksudkan itu lebih kepada perkara yang boleh dilakukan dan tidak boleh dilakukan secara pentadbiran.

Manakala, pemahaman kebanyakan orang adalah Islam itu adalah sebagai cara hidup (ad-deen) maka Malaysia perlulah menjadikan semua warganegaranya menggunakan Islam sebagai ad-deen. Pemahaman begini sukar diamalkan kerana Islam yang dalam bentuk pemahaman begini tidak wujud semenjak merdeka lagi.

Oleh itu, jika dikatakan Islam sebagai agama Persekutuan dalam konteks pentadbiran dan struktur kenegaraan adalah lebih tepat berpandukan kepada amalan yang diamalkan selama ini. Islam banyak mempengaruhi kehidupan rakyat Malaysia namun ada batasan tertentu yang ditetapkan dalam Perlembagaan itu sendiri.

Tidak syak lagi bahawa Perlembagaan membenarkan mana-mana penganut agama Islam untuk beramal dengan agamanya selagi ianya tidak membawa isu kemudaratan dan keselamatan. Agama lain juga boleh diamalkan meskipun Islam itu dinamakan sebagai agama Persekutuan. Ianya tidak memaksa penganut agama lain untuk bertukar agama.

Islam diberikan sedikit kelebihan apabila Persekutuan dan negeri-negeri boleh membelanjakan wang kerajaan untuk menjaga institusi berkaitan agama Islam. Begitu juga semasa darurat, tiada undang-undang boleh dibuat sehingga mengganggu gugat kedudukan Islam dalam Perlembagaan.

Oleh kerana, struktur pentadbiran Islam ini adalah dalam bidangkuasa negeri, maka kebanyakan hal-ehwal Islam itu dipelihara dan ditadbirkan oleh negeri tersebut. Negeri-negeri diberikan bidangkuasa untuk menggubal undang-undang berkaitan undang-undang diri dan keluarga bagi orang yang menganut agama Islam, pewarisan, berwasiat dan tidak berwasiat, pertunangan, perkahwinan, perceraian, mas kahwin, nafkah, pengangkatan, kesahtarafan, penjagaan, alang, pecah milik dan amanah bukan khairat; Wakaf dan takrif serta pengawalseliaan amanah khairat dan agama, pelantikan pemegang amanah dan pemerbadanan orang berkenaan dengan derma kekal agama dan khairat, institusi, amanah, khairat dan institusi khairat Islam yang beroperasi keseluruhannya di dalam Negeri; adat Melayu; Zakat, Fitrah dan Baitulmal atau hasil agama Islam yang seumpamanya; masjid atau mana-mana tempat sembahyang awam untuk orang Islam, pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu, kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan; keanggotaan, susunan dan tatacara mahkamah Syariah; mengawal pengembangan doktrin dan kepercayaan di kalangan orang yang menganut agama Islam; penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin Syarak dan adat Melayu.

Kesimpulannya, memahami maksud Islam sebagai agama Persekutuan bukanlah suatu perkara yang mudah kerana ianya memerlukan taakulan terhadap lain-lain peruntukan dalam Perlembagaan. Memahami bahawa Persekutuan menganut agama Islam sebagaimana seorang individu menganut agama Islam bukanlah suatu pemahaman yang tepat.

Oleh kerana, Islam telah diangkat sebagai agama Persekutuan maka Islam mempunyai kelebihan berbanding dengan agama lain yang mana kerajaan boleh membiayai perbelanjaan untuk institusi-institusi berkaitan dengan agama Islam.

Selain itu, Islam diberikan tempat yang agak tinggi di tiap-tiap negeri di Malaysia kerana pentadbiran agama Islam adalah terletak dalam bidangkuasa negeri itu sendiri. Persoalannya, sejauh manakah negeri-negeri itu telah berjaya mengangkat Islam sebagai suatu agama yang murni dan boleh diterima oleh semua rakyat Malaysia.