Memahami makna Aidilfitri

Memahami makna Aidilfitri
Yang Dipertuan Yadim Nik Omar Nik Abdul Aziz (empat dari kiri) bergambar bersama pegawainya sempena sambutan Hari Raya Aidolfitri 1440 Hijrah.

Bersempena Hari Raya Aidilfitri ini, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) ingin mengucapkan Selamat Hari Raya kepada seluruh umat Islam di Malaysia dengan ucapan syukur kepada Allah SWT kerana berjaya melepasi ujian berpuasa selama sebulan.

Perlu ditegaskan bahawa perayaaan Aidilfitri sejati merupakan satu kemenangan secara batiniah atau rohaniah kepada umat Islam. Justeru itu ia harus direfleksikan di dalam peningkatan kualiti perilaku beragama, keimanan yang bertambah kuat dan ketakwaan yang semakin menebal.

Kita renungi syair Arab yang berbunyi; “Bukanlah Hari Raya Aidilfitri bagi orang yang berpakaian dan perabot rumahnya serba baru, namun Hari Raya Aidilfitri adalah bagi orang yang beriman dan ketaatannya bertambah.’’

Berhari raya juga bererti kembali kepada jati diri manusia sebagai hamba Allah sebagaimana penciptaan kejadian manusia iaitu kembali kepada kejadian fitrah manusia.

Di alam azali lagi iaitu sebelum wujud sebagai manusia, kita telah mengakui keesaan Allah SWT. dan berjanji untuk mentaati perintah-Nya. Fitrah juga berkait dengan hanif, iaitu suatu sifat dalam diri manusia yang cenderung memihak kepada kebaikan dan kebenaran.

Sewajarnya juga kesucian lahir dan batin ini menjadi motivasi untuk membentuk kesedaran membantu golongan yang miskin atau tertindas dan dengan kesedaran yang demikian akan membawa manusia menjadi insan yang bertakwa.

Lebaran adalah suasana keilahian dan kemanusiaan kerana apa yang lebih penting dari itu ialah melalui semangat Syawal kita terus memperbaiki perilaku peribadi, hubungan dengan orang lain serta hubungan kita dengan Allah.Di negara kita, agama menjadi faktor penyatuan kaum iaitu dengan menyederhanakan perasaan taksub dan fanatik agama, perkauman dan budaya serta adat resam melampau bagi sesuatu kaum dan bangsa.

Perasaan melampau tentang perkauman dan agama diredakan oleh semangat tolak ansur dan setiakawan ketika menyambut hari raya melalui penganjuran rumah terbuka.

Agama Islam adalah agama yang menyatupadukan umat manusia, agama yang menghormati sesama manusia dan memuliakan tetamu, kini mula digugat akibat ketandusan ilmu pengetahuan tentang Islam.

Umat Islam hendaklah menjalinkan silaturahim dengan mereka yang berlainan agama kerana mereka juga ada beberapa haknya seperti hak kewarganegaraan, kejiranan dan kekeluargaanSebagai agama yang membawa mesej perpaduan antara umat manusia, menghormati sesama manusia dan memuliakan tetamu adalah perkara utama.

Melalui silaturahim, hubungan antara manusia semakin rapat dan tiada kebaikan yang lebih cepat mendapat pahala selain silaturahim, dan tiada kejahatan yang lebih cepat mendatangkan azab Allah selain memutuskan silaturahim.

Di sinilah silaturahim perlu dibudayakan dengan menjadikan ia sebagai sempadan nilai budaya yang bakal membangunkan semula semangat penyatuan antara masyarakat.

Ini adalah kerana nilai budaya yang terkandung melalui perayaan Aidilfitri ialah kemenangan setiap Muslim dalam mengekang hawa nafsu. Jangan kita biarkan diri menjadi perosak, kerana kita akan dinilai nanti bersandar sumbangan kepada kepentingan pembangunan masyarakat, agama dan kesejahteraan negara.

Dengan memperbanyakkan rumah terbuka pada Aidilfitri, tentunya akan membantu menghapuskan nilai-nilai negatif yang selama ini disandarkan kepada orang Islam.