Vladimir Putin pada 2008 pernah menyebut kepada Presiden Amerika Syarikat (AS) ketika itu, George Bush, bahawa Ukraine bukan sebuah negara. Sebahagian negara tersebut adalah Eropah Timur dan sebahagian lagi adalah wilayah milik Russia.
Pada 2014, apabila Russia dikritik dan dikenakan sekatan lantaran menawan Semenanjung Crimea dari Ukraine, Putin mengeluarkan kenyataan dalam bentuk persoalan; “Negara mana di dunia ini yang tidak ada masalah sempadan? Majoriti negara di dunia hari ini tidak selesai masalah tuntutan sempadan mereka dengan negara jiran.”
Ketika Kasovo mengumumkan merdeka dari Serbia pada 2008 dan mendapat pengiktirafan majoriti negara-negara Barat, Putin menyatakan bahawa dengan mengiktiraf pengumuman kemerdekaan Kasovo secara sebelah pihak itu, Barat menetapkan undang-undang yang berbeza mengikut setiap negara mengikut selera mereka.
Hari ini, sebelum dan selepas Perang Russia-Ukraine berlaku Putin menyatakan dua perkara:
Pertama, Barat cuba memasukkan Ukraine ke dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO). Cuba bayangkan mereka hendak meletakkan senjata di hadapan pintu rumah anda, adakah anda akan berdiam diri?
Soal Russia. Ini kerana Ukraine mempunyai sempadan secara terus dan luas dengan Russia yang pastinya kemasukan ke dalam NATO akan menyebabkan kedudukan NATO betul-betul berhadapan dengan Russia.
Putin juga menyatakan bahawa kumpulan radikal atau disebut Neo Nazi Ukraine telah melakukan keganasan untuk menghapuskan etnik Russia di Donbas (dalam wilayah Ukraine). Jadi, Russia terpaksa menakluk kawasan tersebut untuk menyelamatkan keadaan.
Apa yang boleh kita simpulkan bukanlah samada benar atau salah kenyataan tersebut, tetapi jika dilihat 3 kenyataan terawal Putin tersebut, adakah ia memberikan gambaran perang yang sedang berlaku ini akan tamat dengan mudah?
Ini kerana ia bukan sekadar alasan NATO atau alasan keganasan Neo Nazi Ukraine, tetapi sempadan negara yang diyakini oleh Putin milik mereka berasaskan sejarah yang lepas.
Jadi, selagi tidak memperolehi kembali wilayah yang dahulunya diserahkan atas nama Ukraine ketika sama-sama berada dalam Kesatuan Soviet (USSR), adakah Russia akan menghentikan perang tersebut?
Kedua, sekatan yang dikenakan terhadap Russia bukan kali yang pertama, sebagaimana dikenakan terhadap Iran sejak tahun 1979 dan Korea Utara.
Ternyata sekatan-sekatan ini tidak memberi kesan perubahan sikap kepada negara-negara tersebut. Jadi, ia menampakkan seolah-olah seperti tidak nampak jalan untuk perang ini akan berhenti segera.
Wallahuaklam. Setepatnya tidaklah mampu kita ketahui apa yang belum berlaku, tetapi kita mengulas atau menganalisa berasaskan maklumat sedia ada.
Pokoknya walaupun kita yang berada jauh dari Ukraine turut terkesan secara tidak langsung dengan perang ini, apatah lagi negara-negara di Eropah yang terpaksa menerima kesan secara langsung.
InsyaAllah, kalau ada masa selepas ini, kita kongsi bagaimana era Putin yang lebih 20 tahun ini, telah membawa Russia keluar dari negara yang terperuk pasca kejatuhan Soviet kepada negara yang terpaksa diambil kira dalam membuat sebarang keputusan ke atas beberapa negara di Barat dan di Asia juga terutama negara-negara majoriti Muslim.
Hal ini penting sebelum kita memahami kenapa ‘hari ini’ Putin berani melaksanakan Perang ke atas Ukraine.
Baca juga Serang Ukraine: Rusia tersilap percaturan?
Baca juga Selalu berpeluh semasa tidur, ini 10 sebab mengapa ia terjadi