Malaysia Dateline

Skandal 1MDB diiklan di seluruh dunia promosi dokumentari “The Kleptocrats”, kata Kit Siang

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, sangat memalukan apabila sejak dua minggu kebelakangan Malaysia diiklankan sebagai negara yang menjadi tuan rumah kepada “penyelewangan paling besar abad ini” disebabkan skandal 1MDB bagi mempromosikan dokumentari “The Kleptocrats”.

Beliau berkata demikian dalam tulisan di blognya hari ini.

Kata beliau, iklan sedemikian muncul dalam media antarabangsa, sama ada South China Morning Post di Hong Kong, Straits Times di Singapore atau Sydney Morning Herald Australia, dan banyak lagi.

Di Malaysia bekas Perdana Menteri Najib Razak masih dibicarakan dengan lebih 25 tuduhan panyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan RM2.28 bilion dana 1MDB, dan berhadapan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika didapati bersalah.

Apa yang berlaku, ujar beliau, rakyat Malaysia sepatutnya telah mampu berbangga kerana telah berjaya menggulingkan rejim kleptokrat itu melalui cara aman dan demokratik pada 9 Mei 2018 lalu.

Namun jelas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, rakyat Malaysia kini berhadapan dengan kemelut lain, iaitu kuasa politik baharu yang yang mengetengahkan politik kebencian, pengasingan dan ektremisme.

Katanya, perjalanan bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang berintegriti baharu bermula, justeru rakyat Malaysia perlu membuktikan bahawa mereka mempunyai stamina, komitmen dan tujuan.

Kerajaan Pakatan Harapan tambah beliau, mesti terus memberikan harapan kepada rakyat Malaysia untuk mencapai tujuan tersebut dan tidak tunduk kepada tuntutan berbaur ekstrem daripada mana-mana pihak.