Malaysia Dateline

‘Memang banyak jenazah, buat pengecaman dari cermin’

Seorang kakak kepada mangsa korban Covid-19 menceritakan pengalamannya yang terpaksa membuat pengecaman terhadap jenazah adik perempuannya menerusi cermin di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

Nik Laila Nik Mahayuddin, 48, berkata, adiknya Nik Nurjihan, 43, ditemui meninggal dunia akibat Covid-19 di rumahnya di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam, Selangor pada 25 Julai lalu.

“Kali terakhir kami berborak ramai-ramai dalam kumpulan WhatsApp keluarga pagi Hari Raya Aidiladha pada 20 Julai lalu.

“Kemudian hari Ahad 25 Julai masa saya di Sunway Pyramid menemani suami untuk cucuk vaksin Covid-19 dos kedua teringatkannya dan cuba hubungi dan menghantar mesej WhatsApp namun tidak berbalas,” lapor Harian Metro hari ini.

Walau bagaimanapun, Nik Laila berkata, adiknya masih tidak membalas mesej WhatsApp menjelang malam sekali gus menyebabkannya dan adik-beradik lain risau.

“Saya tanyakan abang saya jika ada simpan kunci pendua rumah adik sebab adik pernah minta tolong abang untuk ubah suai rumahnya sebelum ini namun abang kata tak ada,” katanya.

Beliau berkata, dia dan abangnya berbincang untuk memecahkan pintu rumah arwah.

Nik Laila berkata, suaminya Hamidi Hasssan, 51, menasihatkan supaya membuat laporan polis dahulu sebelum mengambil tindakan itu.

“Laporan dibuat di Balai Polis Taman Sri Muda dan kira-kira jam 11 malam hari sama selepas pintu berjaya dibuka, rumah itu bergelap dan abang saya akhirnya menemui adik dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Pihak hospital dan pegawai perubatan yang tiba di lokasi selepas dihubungi mengesahkan arwah sudah meninggal dunia,” katanya.

Menurutnya, jenazah adiknya kemudian dibawa ke Jabatan Forensik HTAR dan perlu menunggu keputusan sampel yang dihantar ke Hospital Sungai Buloh.

“Kira-kira 6 petang keesokannya (26 Julai 2021) baru dapat keputusan. Kemudian disebabkan tidak mahu tangguhkan urusan jenazah, kami sekeluarga ambil keputusan menggunakan khidmat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Muslim yang disenaraikan hospital.

“Selepas melengkapkan beberapa dokumentasi NGO berkenaan mendapat slot untuk kebumi di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam pada keesokannya (27 Julai 2021).

“Hari berikutnya saya diminta buat pengecaman. Waktu itu memang banyak jenazah dan saya hanya dibenarkan melihat wajah adik dari cermin sebelum saya diminta beredar untuk jenazah adik ditayamum dan disolatkan,” katanya sebak.

Katanya, pihak hospital mungkin tidak membenarkan waris melihat prosedur pengurusan jenazah disebabkan kes Covid-19 yang semakin membimbangkan dan berisiko tinggi menjangkiti orang sekeliling.

Menurutnya, jenazah Nik Nurjihan selamat dikebumikan dan sejurus selesai urusan itu azan Asar berkumandang.

“Dua waris sahaja boleh ke kubur, itu pun hanya boleh saksikan dari jauh. Ibu kami sangat sedih. Katanya arwah ada hubungi Jumaat lalu (23 Julai). Ibu tanya kepadanya sihat ke?

“Adik beritahu demam sikit. Ibu pesan kepadanya supaya pergi klinik. Adik cakap OK demam sikit sahaja, biasa esok baiklah,” tambahnya lagi.

Arwah Nik Nurjihan antara 264 kes mayat dibawa ke hospital atau Brought In Dead (BID) dengan positif Covid-19 antara 15 sehingga 28 Julai lalu.

Laporan harian Ketua Pengarah Kesihatan mendedahkan, bagi tempoh itu, Selangor mencatatkan kematian BID tertinggi berbanding negeri lain iaitu 122 kes.