Memang patut cabut pintu PPR, penghuni bukan kategori miskin tapi sengaja culas bayar sewa

Oleh KIM SYAZIE

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Datuk Masri Razali mempertahankan tindakan para penguatkuasanya yang bertindak mencabut pintu rumah penyewa PPR yang liat membayar sewa rumah.

Beliau berkata, sepanjang 2021 hingga 2024, KPKT melalui Program Penyenggaraan Perumahan telah membelanjakan lebih RM6 juta untuk kerja penyelenggaraan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Paroi dan Lobak.

“Dengan jumlah sebesar ini, sewaan RM150 sebulan sudah tentu tidak dapat menampung perbelanjaan yang dibuat ditambah pula dengan sikap penyewa yang tidak bertanggungjawab untuk menjelaskan tunggakan sewaan.

“Justeru, sekiranya tiada tindakan sewajarnya yang diambil, dana kerajaan akan kerugian begitu sahaja tanpa ada sebarang usaha untuk menaikkan taraf dan mutu tata kelola di dalam menguruskan hal seperti ini,” katanya memetik Harian Metro.

Kata Masri, tindakan yang diambil adalah wajar dan munasabah serta tidak bercanggah dengan objektif membantu golongan berpendapatan rendah selepas pelbagai usaha dan peluang yang diberikan.

Malah beliau mendedahkan, penyewa yang culas membayar sewa rumah bukanlah dari kategori miskin.

“Kesemua penyewa yang diambil tindakan adalah tidak termasuk dalam kategori miskin berdasarkan semakan daripada Portal Pembasmian Kemiskinan eKasih.

“Hasil daripada bertolak ansur dan toleransi yang diberikan selama bertahun-tahun, penyewa semakin liat dan culas untuk membayar sewa sehingga tunggakan sewa terkumpul melebihi RM3 juta untuk perumahan di PPR Paroi dan Lobak,” katanya.

Baca juga: Tak sangka Kerajaan Persekutuan peruntuk lebih RM1.8 bilion untuk pembangunan Terengganu