Mematuhi syariah dalam bidang hospitaliti

Mematuhi syariah dalam bidang hospitaliti

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kaunter syarikat penerbangan Rayani Air masih ada, tetapi ditinggalkan kosong di Lapangan terbang Antarabangsa Kuching baru-baru ini.

Ketika seorang kenalan melintasinya, beliau membuka perbualan mengenai syarikat penerbangan itu, yang kini digantung perkhidmatannya oleh Jabatan Penerbangan Awam.

Isunya ialah mengenai perkhidmatan untuk pelanggan, komen beliau ialah tentang konsep pematuhan syariah yang cuba dibawa oleh syarikat itu pada awal operasinya, yang sememangnya membuatkan ramai teruja.

“Umpama kita ke sebuah restoran mewah yang menjanjikan hidangan makanan halal, kita mengharapkan itu sebagai pelengkap kepada keseluruhan kemudahan dan servisnya yang cekap,” kata beliau ketika membandingkan perkhidmatan yang dijanjikan syarikat penerbangan Rayani Air dengan penyampaiannya yang banyak mengecewakan pelanggan.

Katanya, dalam bidang hospitaliti, penyampaian perkhidmatan yang menepati masa memang patut diutamakan dan di sinilah kelebihannya jika pematuhan syariah diutamakan.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TH Global & Services Sdn Bhd Adly Mohamed yang bersetuju dengan pendapat kenalan itu, menyamakan perkara ini dengan apa yang dilaksanakan di hotel-hotel TH Hotel & Services Sdn Bhd.

“Bezanya cuma mereka (Riyani Air) guna platform kapal terbang dan kami hotel,” katanya.

PEMATUHAN SYARIAH DI HOTEL

Untuk hotel, ramai pengguna yang pada awalnya akan bertanya, patuh syariah itu bagaimana?

“Apa yang saya tegaskan kepada petugas hotel TH ialah patuh syariah itu bukan ditunjukkan secara fizikal sahaja kepada pelanggan tetapi diutamakan dalam kemudahan yang kami berikan dan perkhidmatan yang kami sampaikan.

“Umpamanya jika saya berada di hotel, saya akan pastikan saya berada di dapur sebelum Subuh, melihat persiapan untuk sarapan, memastikan pekerja dalam keadaan bersedia mental dan fizikal, dewan sarapan diuruskan dengan baik kerana menjelang 6.30 pagi semua sudah patut terhidang dan serba lengkap,” katanya.

Semua TH Hotel dalam mematuhi syariah dipastikan bersih, keadaannya selesa, kemudahan fizikal dalam keadaan baik dan khidmat pelanggannya cekap.

“Tiada minuman alkohol dan makanan dijamin halal adalah hanya asas kepada label pematuhan syariah yang kami tonjolkan,” kata Adly.

Ya, TH Hotel menetapkan semua pekerja hotel berpakaian menutup aurat tetapi ia tidak mencukupi jika mereka tidak mesra pelanggan, tidak pandai menyapa dengan betul, tidak cekap atau lambat melayani kehendak pelanggan dan memberi khidmat.

Oleh sebab itu TH Hotel sering menganjurkan latihan dan kursus berkaitan untuk pekerjanya dari peringkat atas hinggalah kepada pekerja sokongan bagi memantapkan perkhidmatan dan pematuhan syariah kami, katanya.

RUPA HOTEL SYARIAH

Apakah dengan mematuhi syariah meletakkan TH Hotel di belakang dari segi hiasan dan kemudahan berbanding hotel konvensional dan bertaraf bintang yang lain?

Tidak juga. Hotel-hotel di bawah kelolaan TH Hotel & Services tetap vibran suasananya dari segi pemilihan warna, perabot, hiasan dan lain-lain.

Melangkah ke hotel-hotel TH membuatkan tetamu merasa selesa dan sudah semestinya yakin – ada kolam renang, bilik sauna dan gimnasium berasingan untuk lelaki dan wanita, waktu solat diingatkan dengan azan di lobi, notis mengenai minuman alkohol ada dipamerkan, petugasnya menutup aurat, servis dan bisnes lancar seperti biasa.

Melalui testimoni ini, tidak hairanlah hotel-hotel TH banyak menerima tempahan secara online melalui Agoda.com dan lain-lain, malah pada 2014 Agoda.com menganugerahkan TH Hotel sebagai hotel empat bintang pilihan tertinggi pengguna online.

“Kami akan jual konsep hotel kami ini di bandar-bandar utama di seluruh Malaysia (kini TH Hotel mempunyai lima hotel) dengan tambahan empat lagi di Sepang, Kuching, Kota Baharu dan Johor Baharu sebelum melangkah ke bandar-bandar utama luar negara,” katanya.

Mematuhi syariah adalah syarat, tetapi di sebalik semua ini adalah jihad, kata Adly dalam mendekatkan amalan mulia kepada ummah, berbanding dahulu kemudahan di dalam bilik hotel tiada paip bersuci yang sempurna, apatah lagi kemudahan seperti sejadah, Al-Quran dan arah kiblat tersorok.

TOKOH HOTEL PATUH SYARIAH

Antara individu yang bertanggungjawab memperkenalkan konsep hotel dengan pematuhan syariah di negara ini, bekas Pengurus Besar Kumpulan De Palma Hotel Datuk Mohd Ilyas Zainol Abidin berpendapat kesedaran masyarakat mengenai konsep hotel ini kini tidak terbatas kepada orang Islam sahaja yang bukan Islam juga sudah tahu produk halal dan produk mesra Muslim yang memang boleh diketengahkan di pasaran antarabangsa.

“Khususnya di Malaysia, kesedaran itu lebih ketara bukan sahaja dalam kalangan orang yang sudah berumur tapi mula disenangi oleh ahli-ahli korporat yang jauh lebih muda, Alhamdulillah ramai yang bergerak ke arah itu dan melalui De palma saya bersyukur kerana saya telah nampak perkara ini sebagai satu potensi yang boleh diterokai,” katanya.

Lebih lapan tahun beliau melakukan banyak perubahan dan memperkenalkan pelbagai perkara dan amalan mematuhi syariah di hotel-hotel De Palma. Jihad beliau ke jalan ini, bukan sahaja mampu bertahan di De Palma, malah pengusaha hotel lain termasuk dari negara jiran Thailand dan Indonesia, cenderung mencontohi De Palma dan secara globalnya hari ini banyak pemilik hotel berani menukar konsep pengurusan dan perkhidmatan hotel mereka berlandaskan pematuhan syariah.

“Apa jua yang dibuat ke jalan Allah sudah pasti Allah beri kemudahan,” katanya yang sangat mengagumi tindakan pemilik hotel lima bintang di Turki dan beberapa negara lain yang menukar keseluruhan konsep hotel konvensional mereka kepada pematuhan syariah dan diterima baik tetamu hotel.

Bagaimana Mohd Ilyas, yang juga Pengarah Urusan Bitzel Sdn Bhd., yang berpengalaman selama 40 tahun dalam bidang perhotelan, termasuk 20 tahun bekerja di Hilton, memulakan semua ini?

“Konsep ini mula-mula saya buat atas kesedaran bahawa masyarakat bekerja hotel selalunya dianggap sebagai masyarakat yang lebih ke arah tidak begitu peka dalam hal agama. Saya nak perbetulkan persepsi itu terutama wanita dan warga kerja yang bekerja mengikut syif.

“Mereka bekerja dalam bidang hospitaliti, memberi khidmat kepada orang, kenapa tidak manfaat pahala ini digandakan bukan sahaja melalui bekerja dan mencari rezeki tetapi juga menambah kebaikan amalan melalui perkara yang mematuhi syariah dan tuntutan agama.

“Dalam masa bekerja mereka juga beramal, solat tidak tinggal, boleh hadiri majlis ilmu anjuran hotel dan pihak luar di De Palma, boleh bersedekah tenaga dan wang ringgit melalui pelbagai program tanggungjawab sosial yang dianjurkan hotel, terutama sepanjang Ramadan. Alhamdullilah sambutan kini baik dan kalau dulu mungkin tak ramai ke surau, pekerja berubah dan mendapat hidayah serta menukar cara hidup mereka menghampiri jalan Allah,” katanya.

CABARAN UNTUK BERJAYA

Seperti lazimnya setiap benda baharu yang diceburi memang akan berhadapan dengan banyak cabaran, umpamanya ada pelanggan yang majlis mereka mesti ada minuman alkohol, menarik diri daripada menganjurkannya di De Palma dan banyak orang beranggapan konsep ini tidak bertahan lama, tetapi De Palma masih terus maju malah mempunyai banyak pelanggan setia.

Hotel De Palma antara yang pertama mengadakan solat Tarawih dan Qiamulail di suraunya sepanjang Ramadan dengan membawa imam ternama dari beberapa buah negara Timur tengah dan surau di De Palma Ampang menjadi satu-satunya yang diberi kebenaran mengadakan solat Jumaat yang kini mencecah 2,000 makmum setiap minggu.

“Masa hadapan hotel yang berlandaskan syariah harus ikut peredaran zaman, sama ada pekerja mahupun bangunan itu sendiri, ciri di dalam hotel juga kita ambil kira segala kemudahan teknologi yang ada di hotel konvensional kita juga perlu ada.

“De Palma dan hotel patuh syariah lain (di Malaysia) harus berdaya saing dan terus mencari kaedah dan apa juga jenis kemudahan yang baik supaya tetamu yang menginap merasai segala kebaikan berada di hotel,” katanya.

Kini De Palma Ampang dalam proses pengubahsuaian dan naik taraf, untuk menawarkan produk yang lebih baik tentunya dari segi pematuhan syariah untuk semua.

Sebuah hotel di Langkawi baru-baru ini mengikut jejaknya beroperasi berlandaskan pematuhan syariah dan pastinya kelahiran hotel itu akan berturutan memperbanyakkan lagi hotel-hotel serupa bagi menjanjikan masa hadapan lebih baik untuk hotel-hotel berkonsepkan pematuhan syariah.

Oleh Rohana Mustaffa

CATEGORIES
TAGS