Malaysia Dateline

Membaca ayat 31 surah Yusuf yang luar biasa indahnya

Bulan Ramadan kita melipatgandakan bacaan al-Quran. Bukan semata-mata membacanya tetapi kita juga berusaha memahami dan menghayatinya. Suasana Ramadan yang syahdu, berbeza daripada bulan-bulan lain itu juga mendorong saya berusaha menulis puisi-puisi berinspirasi al-Quran.

Antara surah-surah al-Quran yang paling menarik perhatian saya sebagai penulis kreatif ialah surah Yusuf, iaitu surah cerita nabi yang paling tersusun sempurna dalam sebuah surah. Saya sentiasa mengulangi membacanya dan telah menghasilkan beberapa tulisan kreatif berdasarkan bacaan itu puisi, cerpen, teater, dan ada sebuah monolog yang sedang dalam proses.

Namun membaca surah Yusuf bukanlah semata-mata kerana mengharapkan inspirasi untuk menulis. Tanpa tujuan untuk menulis pun saya sering membacanya, kerana suka membacanya. Ada beberapa ayatnya yang memang mempesonakan saya kerana keindahan estatikanya, keindahan bunyinya, keindahan susunan kata-katanya.

Misalnya ayat ke-31 yang terjemahannya ialah: Maka apabila dia mendengar cacian mereka itu dia pun mengundang mereka dan menyediakan jamuan untuk mereka, dan diberinya tiap seorang sebilah pisau dan dia berkata: Keluarlah kamu kepada mereka! Dan tatkala mereka melihatnya semua tercengang mengaguminya sambil menghiris tangan sendiri dan berkata: Maha suci Allah! Ini bukan manusia. Ini tidak lain melainkan malaikat yang mulia.

Dalam bahasa Arab semua itu adalah satu ayat sahaja. Keindahannya dalam bahasa Melayu mungkin tidak terasa. Tetapi dalam bahasa Arab ia sangat indah:

Falammaa samiat bimakrihinna arsalat ilaihinna wa-atadat lahunna muttaka-an, wa-aatat kulla waahidatin minhunna sikkiinan waqaalat-ikhruj alaihinna; falammaa ra-ainahuu akbarnahuu wa-qattona aidiyahunna waqulna haasya lillaahi ma haazaa basyaraa, in haazaa illaa malakun kariim.

Bunyi dan rentak bunyi perkataan-perkataannya yang banyak berulang-ulang itu, yang menunjukkan seorang perempuan dan ramai perempuan samiat, arsalat, atadat, aatat, qaalat dan makrihinna, ilaihinna, lahunna, minhunna, alaihinna dan ra-ainahuu, akbarnahuu sangat cantik, sangat indah.

Ia sebuah cerita, atau suatu episod lengkap dalam sebuah cerita, diceritakan oleh al-Quran dalam satu ayat sahaja. Maka apabila dia mendengar cacian mereka itu. Ini sambungan daripada ayat-ayat sebelumnya yang dia itu bermaksud perempuan yang mencintai Nabi Yusuf, iaitu Zulaikha, isteri kepada Menteri Al-Aziz, bapa angkat kepada Nabi Yusuf, yang memeliharanya sejak kecil (setelah membelinya di pasar, dijual oleh orang-orang yang memungutnya di telaga setelah dia dicampak oleh abang-abangnya) sehingga dia menjelang dewasa.

Kini orang ramai di Mesir, terutama wanita-wanitanya, sedang heboh mengumpat mengata-ngata Zulaikha bercinta dengan anak muda peliharaannya sendiri.

Mendengar gossip cacian orang ramai itulah dia pun mengundang mereka dan menyediakan jamuan untuk mereka di rumahnya. Dan ayat itu seterusnya: dan diberinya tiap seorang sebilah pisau dan dia berkata: Keluarlah kamu kepada mereka! Maksudnya setelah para undangannya tiba di rumahnya mereka dipersilakan duduk di tempat yang telah disediakan, dan tiap seorang daripada mereka diberi sebilah pisau (mungkin untuk memotong buah yang siap terhidang di depan mereka).

Al-Quran tidak menyebut adanya buah terhidang di hadapan para tetamu itu. (Jadi mungkin juga pisau itu untuk memotong daging, atau lainnya). Al-Quran hanya menyebut: dan dia berkata: Keluarlah kamu kepada mereka! Maksudnya, Zulaikha berkata kepada Yusuf: Keluarlah kamu ke tengah-tengah para tetamuku itu.

Itu memang antara gaya penceritaan al-Quran. Ia tidak menceritakan secara rinci semuanya. Ada bahagian-bahagiannya yang sengaja ditinggalkan, dan pembaca harus mencari sendiri maklumat-maklumat yang sengaja tidak disebut itu, kerana sebab-sebab tertentu. Misalnya nama isteri pembesar al-Aziz itu, watak penting dalam kisah ini, pun tidak disebut. Para ahli tafsirlah yang mengkajinya dan menyebutnya bernama Zulaikha.

Dan ayat itu seterusnya: Dan tatkala mereka melihatnya. Maksudnya Yusuf pun keluar berjalan ke tengah-tengah para tetamu itu, yang al-Quran tidak menyebut demikian. Al-Quran langsung sahaja menyebut falammaa ra-ainahuu akbarnahuu wa-qattona aidiyahunna. Dan tatkala mereka melihatnya semua tercengang mengaguminya sambil menghiris tangan sendiri.

Demikian al-Quran menggambarkan kehebatan lelaki yang paling tampan pernah dicipta Tuhan. Perempuan-perempuan itu jadi terpesona melihatnya sehingga mereka tidak sedar yang mereka menghiris jari-jari mereka sendiri dan tidak merasa sakit, dek terpesona dengan ketampanan lelaki bernama Yusuf itu.

Dalam keadaan terpesona itu mereka melafazkan kata: Maha suci Allah! Ini bukan manusia. Ini tidak lain melainkan malaikat yang mulia.

Semuanya itu dalam satu ayat sahaja. Ayat 31 surah Yusuf. Perihal Zulaikha mendengar perempuan-perempuan di bandar itu bergosip mengumpat dia bercinta dengan lelaki anak angkatnya sendiri, lalu dia mengundang mereka ke rumahnya untuk suatu majlis jamuan dan di majlis itu tiap seorang tetamunya itu diberi sebilah pisau, dan Zulaikha pun menyuruh Yusuf keluar ke tengah-tengah mereka, dan ketika mereka melihat Yusuf mereka begitu terpesona sehingga tidak sedar mereka menghiris jari tangan mereka sendiri sambil melafazkan kehairanan apakah yang sedang mereka lihat itu manusia ataupun malaikat!

Satu ayat indah yang secara tersurat menceritakan suatu peristiwa besar dalam sejarah manusia, iaitu ketampanan luar biasa seorang lelaki yang mempesonakan wanita-wanita yang melihatnya sehingga mereka tidak sedar yang mereka menghiris jari tangan sendiri.

Manakala secara tersiratnya pula ayat itu membawa banyak cerita yang memerlukan renungan dan kajian mendalam untuk kita memahaminya. Misalnya, pertama, sesungguhnya Yusuf adalah seorang lelaki yang luar biasa ketampanannya, yang boleh menyebabkan wanita yang melihatnya jadi terpukau dan tidak sedar diri.

Maka bayangkanlah Zulaikha yang setiap hari berhadapan dan melihat kehebatan itu di depan matanya. Mungkinkah Zulaikha tidak jatuh hati terhadap Yusuf? Dan seterusnya dan seterusnya ada banyaklah lagi yang tersirat yang menyebabkan kita tidak akan jemu mengulangi membacanya. Dan di sini saya hanya memfokus kepada keindahan susunan ayat berkenaan sahaja.

Itu hanya satu contoh sebuah ayat yang sangat indah di dalam al-Quran. Saya hanya menceritakan sebuah pengalaman sendiri. Tentulah ada banyak lagi ayat-ayat yang indah sedemikian. Apakah anda tidak teruja untuk membaca dan mengulangi membaca sebuah buku yang luar biasa hebatnya ini?