Malaysia Dateline

Membaca tulisan sendiri

Sebelum manuskrip masuk ke dalam kilang untuk proses cetakan, saya sudah berulang kali baca manuskrip ‘Menang dan Terbuang. Demokrasi, ‘Deep State’ dan Darurat’. Setiap kali saya baca, pasti ada beberapa hal yang hendak dibetulkan atau diubah. Nasib baik penerbit tidak bising.

Pernah penerbit berkongsi cerita pengalaman dengan seorang penulis yang sering ubah setiap kali manuskrip diberikan kepadanya. Akhirnya banyak kerja tertangguh dan membuang masa. Dari situ saya faham. Jangan banyak songeh atau jangan terlalu idealistik.

Setelah siap dicetak dan berada di pasaran, buku dibaca sebagaimana yang ada sahaja. Tiada apa yang nak hendak diubah. Kena terima seadanya. Itulah hasil karya kita selama lebih dua tahun. Bermula 2018 hingga April 2021.

Membaca karya sendiri yang sudah siap adalah satu pengalaman yang menarik. Kita sebenarnya membaca diri kita sendiri. Membaca pemikiran kita. Menilai pendekatan kita. Itu adalah suatu proses munasabah untuk memperbaiki diri dan karya-karya akan datang.

Saya bandingkan karya terbaharu dengan beberapa pendapat dari pembaca lain. Ramai pembaca mencadangkan agar buku-buku saya dicetak semula. Antara yang banyak permintaan adalah buku ‘Aku Melayu di Kota Inggeris’ terbitan Kemilau Publika dan ‘Mat Indera. Petualang atau Pejuang’ terbitan Al Jundi Resources.

Berdasarkan pengalaman saya mencetak semula buku, langkah itu banyak risiko. Saya pernah mencetak semula buku ‘Diari Lokap Black 14’. Akhirnya buku entah ke mana, duit pun entah ke mana.

Ada beberapa pilihan boleh dibuat. Pertama terbit secara e-Book. Saya sedang meneroka hal-hal tersebut.

Sementara itu, saya sedang menyiapkan karya seterusnya. Ia bukan buku politik seperti buku terbaharu saya ini. Ia adalah sambungan kepada buku ‘Aku Melayu di Kota Inggeris’. Saya himpunkan kembali tulisan lama saya di Harakah dan Siasah untuk karya seterusnya.

Terdapat juga tulisan baru. Buat masa ini, saya pilih tajuk ‘Meredah Benua’. Ia adalah pengalaman hidup di UK dan pengembaraan saya di Eropah dan Timur Tengah.

‘Aku Melayu di Kota Inggeris’ hanya mencerita pengalaman saya hidup di bumi Inggeris tetapi saya tidak kongsikan bagaimana untuk survive belajar PhD tanpa biasiswa. Saya fikir ini penting bagi membakar semangat anak-anak muda khususnya orang Melayu agar merantau mencari pengalaman dan pengetahuan.

Manakala manuskrip karya ‘Ustaz Sulam. Potret Seorang Guru dan Bapa’ sudah berada dalam proses penyuntingan. Buku itu adalah biografi tentang bapa saya. Projek itu sudah saya mulakan secara serius sejak PKP. Sebelum itu, saya hanya catat dan proses pengumpulan data dari sumber lisan dan dokumen.

Usaha saya bertambah apabila seorang penulis menghubungi saya untuk mendapatkan maklumat tentang bapa saya. Penulis tersebut sedang menyusun buku tentang ulama-ulama seluruh negara. Dia memasukkan nama arwah bapa saya dalam senarai ulama-ulama tersebut. Ironinya pada masa itu, saya sendiri tidak punya data yang baik.

PKP dan kejatuhan kerajaan PH memberi ruang luas untuk saya kembali menelaah sejarah sendiri. Sejarah keluarga, sejarah perjuangan dalam parti, sejarah negara dan sebagainya.

Saya habiskan masa mengkaji dan membaca dokumen yang tersimpan dalam stor saya. Saya memang menyimpan banyak dokumen Pas sejak awal penyertaan saya dalam parti itu pertengahan tahun 80an. Ada beberapa lagi draf manuskrip yang sedang dalam proses.

Semua itu saya buat dalam tempoh ‘paling celaka’ dalam politik tanah air. Tapi saya ubahkan ia menjadi satu tenaga bagi menghasilkan karya yang terbaik buat negara.

Dua hari ini, saya berkesempatan baca buku ‘Menang dan Terbuang. Demokrasi, ‘Deep State’ dan Darurat’. Saya ambil masa lebih kurang dua jam untuk menghabiskannya dari kulit ke kulit. Saya tidak baca terus menerus.

Sewaktu saya membaca buku itu, saya cuba menjadi orang lain. Berpura-pura menjadi orang asing. Kononnya untuk berlaku adil, objektif dan telus. Nanti saya kongsikan tentang ulasan sendiri.


Buku ‘Menang dan Terbuang’, boleh diperolehi di bit.ly/bukumuhaimin atau WhatsApp Admin 019 6737110