Malaysia Dateline

Membazir duit rakyat, warganet kecam pelantikan Shahril jadi Pengarah Ekonomi Pejabat PM

Orang ramai dilihat mengecam pelantikan Ketua Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan sebagai Pengarah Ekonomi Pejabat Perdana Menteri.

Pelantikan Shahril yang juga Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno itu tular di media sosial malam tadi termasuk gambarnya bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Ekonomi PM lain, ekonomi negara lain. Ekonomi marhaen, bagaimana? Siapa suruh miskin,” perli seorang pengguna Twitter.

Shahril Sufian Hamdan

Ada juga yang menyifatkan pelantikan itu sebagai bermotifkan kepentingan politik dengan membazirkan wang kerajaan ketika ramai rakyat hilang pekerjaan dan terjejas sumber pendapatan akibat pandemik Covid-19.

“Satu lagi pembaziran wang rakyat. Keluarga Perdana Menteri kesembilan atau Keluarga Malaysia,” kata netizen lain pula.

Setakat pagi ini, belum ada pengesahan dan kenyataan rasmi mengenai pelantikan yang juga dianggap pihak tertentu sebagai langkah ‘mencantas’ Ketua Pemuda Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dalam pemilihan parti itu akan datang.

Agenda Daily sebelum ini melaporkan, sumber dalaman Umno memberitahu, Shahril yang merupakan pemegang ijazah dalam bidang ekonomi di University of Manchester itu bakal mencabar Asyraf dalam pemilihan Umno nanti.