Membela golongan susah sebagai agenda politik

Melalui wawancara radio BFM dengan Menteri Wilayah, Khalid Samad pada 24 September lalu, ada suatu perkara yang boleh meperingatkan orang ramai mengenai apakah itu agenda politik rakyat.

Ketika itu, beliau ditanya mengenai kedudukan taman-taman awam khususnya taman rekreasi Bukit Kiara yang menjadi pertelagahan antara penduduk di sekitarnya khususnya dari Taman Tun Dr Ismail dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menurut beliau, dalam mempertahankan taman-taman awam di bandar raya daripada diambil alih oleh pemaju bagi pembinaan kondominium, ada satu isu yang perlu orang ramai ambil perhatian. Isu taman awam Bukit Kiara itu adalah bersekali juga dengan isu perumahan rakyat.

Menurut Khalid, beliau berasa agak marah atau annoyed apabila isu perumahan rakyat langsung tidak diambil kira dalam membicarakan soal taman awam Bukit Kiara.

Katanya, di kawasan taman itu terdapat rumah-rumah panjang yang menempatkan keluarga-keluarga yang rumah mereka diruntuhkan kerana tanahnya diambil alih untuk membina taman-taman perumahan.

Rumah panjang itu adalah penempatan sementara sebab itu keluasannya kecil. Mereka seharusnya memperoleh rumah dengan masalah ini tidak diselesaikan untuk berpuluh-puluh tahun.

Keadaan inilah yang diambil kesepatan oleh pemaju hingga mengorbankan taman-taman rekreasi awam.

Kenyataan menteri itu menyedarkan penulis mengenai tumpuan agenda politik rakyat.

Kawasan taman-taman rekreasi awam yang diambil alih oleh para pemaju sememangnya menjadi isu dan ditimbulkan oleh warga Kuala Lumpur dalam kritikannya terhadap DBKL dan kerajaan Barisan Nasional (BN) selama ini.

Banyak warga kota berasakan kerajaan BN tidak memberi keutamaan kepada soal alam sekitar dan kelestarian bandar raya.

Keluhan-keluhan dari warga kota yang dahagakan tempat berekreasi hujung minggu ini adalah berasas.

Namun begitu, ada satu aspek yang perlu difikirkan berhubung dengan keperluan warga yang kekurangan daya di bandar raya ini.

Realiti ini bukan saja berlaku di Kuala Lumpur tetapi juga keseluruhan Lembah Klang dan Selangor.

Aspek yang penulis maksudkan ialah berhubung dengan soal perumahan dan golongan susah.

Di Kuala Lumpur terdapat banyak orang yang dikira senang kerana mereka memiliki rumah yang selesa untuk didiami, sama ada banglo, rumah teres atau kondominium.

Ia juga diperoleh dengan pelbagai cara, sama ada diwarisi, dibeli atau menyewa, semua umumnya menunjukkan kemampuan untuk mempunyai kediaman selesa.

Dengan memiliki kediaman itu, banyaklah orang yang senang ini pada hujung minggu dapat melakukan kegiatan rekreasi seperti berlari, berjalan dan bersenam.

Penuhlah taman-taman rekreasi awam di Lembah Klang ini. Antaranya adalah Taman Botani Tasik Perdana, Taman Titiwangsa, Taman Metropolitan, Taman Kiara dan Taman Tasik Permaisuri. Pastinya warga kota mahu mempertahankan paru-paru hijau mereka.

Tetapi tidak semua warga kota ini dari kalangan golongan senang.

Ada yang terpaksa tinggal di kediaman-kediaman kecil yang tidak selesa, setinggan, rumah panjang dan malah ada yang menjadi gelandangan. Ditambah pula dengan adanya warga asing.

Perumahan adalah suatu masalah dan isu di kota raya. Begitu juga dengan pengangkutan dan peluang pendapatan termasuk pekerjaan dan perniagaan.

Ingatlah pada suatu masa terdapat banyak setinggan untuk menampung keperluan penduduk Kuala Lumpur.

Ia hodoh dan mencemarkan imej kota raya. Kawasan setinggan dibersihkan untuk memberi laluan bagi pembangunan.

Di tapak-tapak setinggan itu didirikan bangunan tinggi, sama ada pejabat dan kediaman, seperti kondominium, tentunya tidak akan termampu oleh penduduk setinggan yang diberi istilah sebagai peneroka bandar.

Kawasan yang dahulunya merupakan tapak kediaman golongan susah kini merupakan kawasan golongan senang.

Golongan susah berpindah ke rumah panjang untuk sementara sebelum dipindahkan ke rumah-rumah pangsa rakyat. Tetapi ia tidak mencukupi.

Di kawasan sekitar Mont Kiara dan Kampung Segambut, seseorang akan dapat melihat landskap dua darjat ini. Itu contoh.

Cuba ingat rumah-rumah pangsa tinggi Flat Pekeliling di Jalan Tun Razak. Ia merupakan kediaman bagi banyak golongan susah yang didirikan sekitar tahun 1970-an.

Tetapi tempatnya adalah strategik. Ia berhampiran dengan stesen bas dengan banyak bas melalui tempat itu. Ia juga berhampiran dengan hospital dan pasar borong.

Tetapi apa yang lebih penting ialah ia terletak di tengah kota yang memudahkan penduduknya mendapatkan pekerjaan, iaitu seperti di sekitar Chow Kit.

Tetapi kini kawasan itu dibersihkan kerana tanah di situ mahal. Kondominium yang bernilai tinggi didirikan di situ.

Penduduk asal di situ dipindahkan ke penempatan yang jauh dari pusat bandar.

Apabila jauh dari pusat bandar, maka sukarlah golongan susah ini hendak memperoleh pekerjaan. Juga bermakna bahawa untuk pergi ke tempat pekerjaan, ia memerlukan belanja yang lebih tinggi.

Di Selangor, keadaannya juga begitu. Setiap kali ada taman-taman perumahan dibina, mesti ada pihak yang dipinggirkan untuk memberi laluan.

Kalaulah asalnya di situ kawasan setinggan, maka penduduknya pasti kena pindah.

Begitu juga kalau ia merupakan kawasan kampung, mereka juga kena pindah ke tempat baharu.

Kediaman baharu tidaklah semestinya lebih baik. Bayangkan kalau kampung tradisi seperti Kampung Chubadak. Kalau mereka dipindahkan ke rumah teres, rumah pangsa atau kondominium, tentunya ia tidak sama dengan kampung warisan yang dipusakai turun-temurun.

Ada tempat pula, ia berupa rumah-rumah estet. Iaitu seperti apa yang terdapat di kawasan ladang di Prang Besar.

Apabila kawsan itu dibangunkan untuk membina Putrajaya, maka penduduknya dipindahkan ke rumah pangsa.

Tentulah suasana ruah pangsa atau rumah panjang tidak sama dengan kuarters estet. Kerja memajukan kawasan itu juga memerlukan pemindahan rumah ibadat mereka.

Tidak salah untuk membangunkan sesuatu kawasan.

Apa yang hendak ditunjukkan di sini ialah setiap binaan untuk golongan senang akan menambah sukar golongan susah yang terlibat.

Mereka tidak mempunyai kuasa atau pengaruh untuk memperoleh keadaan yang lebih baik.

Begitu juga ada kawasan Orang Asli. Umpamanya suku kaum Temuan di hutan Ayer Hitam berhampiran Puchong.

Mereka dulu bukan saja tinggal di penempatan hutan yang menjadi kampung mereka itu, tetapi juga memperoleh makanan, kehidupan dan pendapatan dari hutan berkenaan. Haiwan-haiwan kecil ada untuk diburu dan dimakan. Rotan dan petai untuk dijual.

Apabila kawasan mereka dijadikan taman perumahan, tanah air mereka yang diduduki ratusan tahun itu bertukar menjadi bandar.

Mereka diberikan rumah-rumah teres juga. Sememangnya mereka dapat rumah moden. Tetapi kampung dan negeri mereka sudah terhapus.

Pendapatan sudah tidak diperoleh dari kawasan yang telah menjadi taman perumahan itu. Mereka perlu hidup sebagai golongan susah dalam masyarakat moden.

Kalau taman-taman perumahan dibina di kawasan yang tidak ada manusia, ia tetap meminggirkan penduduk asal tempat itu, seperti haiwan dan unggas.

Bayangkan kera dan tupai yang hidup di hutan tiba-tiba terpaksa mencari makanan di tong-tong sampah taman perumahan.

Pemaju menjadi kaya raya. Juga bank dan segala pembekal bahan binaan. Nilai tanah itu meningkat berganda-ganda. Kutipan cukai juga bertambah.

Penduduk yang membeli rumah-rumah baharu juga memiliki aset. Tetapi pihak yang dipinggirkan, sama ada asalnya penduduk setinggan, kampung, kuarters estet, penempatan Orang Asli, malah haiwan-haiwan yang dipinggirkan itu pun barangkali terus menjadi golongan susah, malah mungkin tidak dapat survive, atau meneruskan kelangsungan hidup.

COMMENTS

Wordpress (0)