Malaysia Dateline

Membina kerajaan yang diharapkan oleh rakyat

Semalam 16 Ogos 2021 bersamaan 8 Muharram 1443 (H) Tan Sri Mahaiddin telah dengan rasminya meletak jawatan bersama dengan kabinet beliau selaras dengan peruntukan perlembagaan Perkara 40 dan Perkara 43 (4) yang menyatakan jika Perdana Menteri hilang sokongan majoriti ahli Dewan Rakyar, kecuali atas permintaannya kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen, Perdana Menteri hendaklah meletak jawatan.

Inilah tidakan yang telah diambil oleh YAB PM dengan meletakkan jawatan tetapi dengan penuh harapan supaya dasar dan polisi yang baik dibawah kerajaan PN dapat diteruskan. Beliau juga dalam ucapan epilognya secara live juga menyatakaan telah mendengar rayuan dan permintaan ”jutaan rakyat” supaya kekal terus memegang tampok pemerintahan, namun tidak berupaya melakukannya kerana kepatuhan kepada Perlembagaan dan undang-undang.

Namun, beliau dengan sinis menempelak bahawa kejatuhan kerajaan PN adalah antara lain disebabkan oleh golongan yang rakus untuk berkuasa. Beliau juga menyatakan usahanya untuk memastikan golongan kleptokrat tidak berkuasa kembali, namun usaha itu menurutnya tidak membuahkan hasil.

Kembali kepada apa yang bakal berlaku dalam tempoh beberapa hari lagi, iaini perlantikan Perdana Menteri baharu dan anggota kabinet. Kabinet YAB TSMY dan kerajaan PN dianggotai oleh seramai 32 orang Menteri dan 38 orang Timbalan Menteri.
Jumlah seramai 70 orang anggota kabinet ini terlalu besar dan dalam keadaan sekarang kita perhatikan ada dikalangan anggota kabinet yang tidak langsung dikenali oleh rakyat. Terdapat juga tiga orang Duta Khas bertaraf menteri iaini terdiri dari Duta-duta Khas PM ke Republik Rakyat China, Timor Tengah dan Asia Timur. YAB PM juga baharu melantik seorang Penasihat bertaraf Menteri Dato Seri Ahmad Faizal Azumu.

Jumlah kabinet yang besar ini menelan belanja jutaan ringgit bagi penggajian yang tinggi dan dengan fungsi yang sebahagiannya tidak jelas malah ada yang tidak kompeten memegang jawatan sebagai Menteri Kabinet.

Bagi memastikan keberkesanan kerajaan baharu, mestilah terdiri dari kalangan yang kompeten, berkeboleharap (reliable), inovatif dan berdaya-maju. Kabinet sediada terlalu besar dan mungkin ada yang benar-benar mempunyai fungsi dan mungkin juga ada sebilangan menteri ujud hanyalah untuk mengambil-hati komponen PN.

Dalam era menghadapi suasana ekonomi semasa, pemulihan dari Covid-19 dan proses memposisi semula urus-tadbir yang terbaik, pemerintah yang baik (good governance) dan amalan terbaik (good practices), komposisi dan bilangan anggota eksekutif pentadbiran kerajaan hendaklah dioptimumkan.

Pengoptimuman disini dengan maksud termasuk mengecilkan bilangan dan memilih yang berkualiti. Kalau kepimpinan baharu boleh meneliti pengalaman negara-negara membangun yang agresif seperto contoh dalam jadual dibawah, bilangan keanggotaan kabinet mereka optimum dan moderat:-

Jadual perbandingan anggota kabinet berbanding dengan bilangan penduduk dan fokus ekonomi masing-masing.

 

Bagi menghadapi suasana ekonomi tidak menentu dan nilai ringgit yang ‘kurang cantik’ pada masa ini, kerajaan haruslah meletakkan keutamaan dalam menentukan keanggotaan kabinet.

Jadikan fiqh awlawiyat sebagai asas pertimbangan, bukan kabinet mengambil hati atau kabinet ‘membayar upah’. Sudah pasti keutamaan adalah menghadapi pandemik termasuk strategi pasca pandemik, mensinergi ekonomi, pendidikan, industri dan peluang pekerjaan, IKS, pembangunan infrastruktur perlu, pemulihan sektor pelancongan, serbis dan pertanian.
Komposisi seramai 70 keanggotaan kabinet terlalu besar buat masa ini dengan melibtkan perbelanjaan dan peruntukan kewangan yang tinggi. Mungkin negara hanya memerlukan separuh sahaja keanggotaan kabinet dengan penggabungan kementerian mengikut keserasian fungsi dan keperluan semasa.

Fokus kabinet adalah memulih dan membina semula negara! Tiada keperluan untuk mengujudkan jawatan seperti Duta bertaraf menteri buat masa ini dan begitu juga penasihat bertaraf menteri.

Ini kerana negara memiliki sekumpulan pentadbir kementerian yang berpengalaman dan kompeten untuk menasihatkan kerajaan.
Harapan rakyat adalah sebuah pentadbiran yang cekap, telus, kompeten, bersih dan menjiwai keperluan rakyat. Jika pentadbiran lama PN yang gagal juga kembali berkuasa maka pemulihan semula negara akan terus-terusan gagal.

Mangsanya adalah rakyat! Rakyat berharap supaya semua yang telah bersusah-payah menurunkan sebuah kerajaan gagal akan membuka minda, berlapang dada, mengenepikan emosi dan nafsu serakah untuk semata-mata berkuasa. Fikirlah masa depan negara.

Bijaklah dalam membuat keputusan. Bersekongkol semula dengan pasukan yang gagal demi kuasa adalah satu kekhilafan besar. Ingat anda dan parti anda akan menerima hukuman kelak. Jika tidak didunia, diakhirat anda akan menerima padahnya!
————-

Penulis merupakan Felo Akademi Sains Islam yang berpengkalan di Jordan. Penulisan ini merupakan pandangan penulisan dan tidak menggambarkan pendirian akademi.